Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Isu bangunan sendiri jadi tumpuan PITWITS
  • Tengah
  • WILAYAH

Isu bangunan sendiri jadi tumpuan PITWITS

Utusan Sarawak 1 day ago
UNTUK KENANGAN….. Michael Tiang Ming Tee merakam kenangan semasa melawat Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Tengah Sarawak (PITWITS), hari ini.

SIBU: Hasrat Persatuan Ibu Tunggal Wilayah Tengah Sarawak (PITWITS) untuk memiliki bangunan sendiri merupakan antara isu utama yang dibangkitkan semasa lawatan kerja Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee ke pejabat persatuan itu, hari ini.

Menurut Tiang, sebidang tanah telah dikenal pasti untuk dicadangkan sebagai tapak pembinaan bangunan persatuan tersebut pada masa hadapan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak kerana telah mengenal pasti sebidang tanah yang berpotensi untuk dijadikan tapak bangunan persatuan ini.

“Saya akan membuat susulan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Awal dan Kesejahteraan Komuniti yang diketuai Dato Sri Fatimah Abdullah untuk mendapatkan pandangan dan sokongan terhadap cadangan ini, supaya pelan pembinaan bangunan tersebut dapat dirangka dengan lebih terperinci.

“Saya juga memberi jaminan akan menyokong sepenuhnya inisiatif ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Tiang yang juga ADUN Pelawan berkata, dalam sesi perbincangan bersama ahli PITWITS, mereka turut menyuarakan keperluan untuk mendapatkan rumah mampu milik.

“Buat masa ini, satu-satunya pilihan yang tersedia ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau Panjang untuk tujuan penyewaan serta bantuan sewa daripada kerajaan Sarawak. Namun, lokasi PPR tersebut dilihat kurang sesuai bagi kebanyakan ahli persatuan ini.

“Saya memaklumkan kepada mereka bahawa terdapat satu projek perumahan mampu milik baharu yang masih dalam peringkat perancangan, dan kini sedang menunggu kelulusan kerajaan Sarawak. Sebaik sahaja projek itu diluluskan, saya akan memaklumkan kepada mereka serta membuka permohonan kepada ahli PITWITS yang layak,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya komited untuk membantu persatuan tersebut khususnya dalam kes-kes tertentu yang memerlukan perhatian segera.

“Ada ahli yang berminat untuk memulakan perniagaan kecil tetapi tidak tahu bagaimana untuk bermula. Saya percaya bahawa lebih baik kita mengajar seseorang untuk ‘memancing’ daripada hanya memberi mereka ‘ikan’,”ujarnya.

Dalam program sama, Tiang turut menyampaikan bantuan makanan dan bunga sempena sambutan Hari Ibu.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Gawai Dayak lambang kesyukuran, perpaduan komuniti
Next: Gawai lambang kesyukuran, bukan sekadar perayaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.