
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan ke atas alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah selepas mendapati wujud beberapa kekhilafan.
Beliau berkata berdasarkan pemahaman Kerajaan Persekutuan, atas nasihat Jabatan Peguam Negara, alasan penghakiman itu dibuat di luar bidang perundangan.
Anwar berkata alasan penghakiman itu, yang menyatakan bahawa kajian semula pemberian khas dibuat selepas 2021, adalah menyalahi undang-undang dan tidak rasional malah mengaitkan kesilapan besar oleh Kerajaan Persekutuan sejak tahun 1974.
“Ini menyebabkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Ahli Parlimen yang terlibat dalam kerajaan sejak 1974 hingga sekarang semuanya diputuskan sebagai terlanjur, tidak sah, tidak rasional, terdapat ketidakteraturan daripada segi prosedur dan mengabaikan tanggungjawab kepada Negeri Sabah.
“Ini satu keputusan yang sangat serius dan sebab itu, saya harap Ahli-Ahli Parlimen semuanya membaca alasan penghakiman kerana ini berbeza, saya tekankan saya tidak mahu ini jadi polemik politik dalam soal 40 peratus (hasil Sabah) kerana itu tidak dirayu.
“Tetapi kenyataan-kenyataan (dalam alasan penghakiman) yang kita anggap tidak selaras dan tidak tepat harus dirayu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung rasional keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain serta implikasi keputusan itu.
Anwar berkata proses rundingan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi mengkaji semula kadar pemberian khas itu telah dilaksanakan ketika Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, dan kenaikan kadar tersebut bukan secara unilateral.
Beliau berkata rundingan itu adalah sah dan selaras dengan peruntukan Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan persetujuan Sabah, kadar tersebut telah dinaikkan pada 2022 sebanyak RM125.6 juta, dan kini apabila kita teruskan dengan pemberian khas RM600 juta itu, ia dipersetujui sebagai interim dan belum dimuktamadkan oleh Sabah dan Sarawak menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, dan kita tentu boleh menyegerakan (proses ini),” katanya.
Anwar juga berkata penjelasan mengenai hasil RM10 bilion dan perbelanjaan RM17 bilion bagi Sabah bukanlah bertujuan untuk mempertikai tuntutan 40 peratus hasil negeri itu.
Beliau berkata angka itu menunjukkan bahawa Sabah sebenarnya menerima manfaat yang jauh lebih besar melalui pelbagai bentuk perbelanjaan Persekutuan.
Justeru, Perdana Menteri berkata dakwaan kononnya kerajaan mengabaikan dan menidakkan hak Sabah adalah tidak berasas, sama sekali tidak tepat serta tidak boleh diterima.
“Umpamanya, dalam MA63 menetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti menjadi milik Sabah maka kita sudah serahkan pada Januari 2024 tetapi walaupun ia jadi milik Sabah, kita masih tetap menyediakan RM1.2 bilion kerana keperluan elektrik Sabah.
“Begitu juga (dengan peruntukan) RM765 juta untuk projek talian penghantaran Southern Link, pemasangan Solar Hybrid MADANI (yang) dimulakan di Sabah, bekalan air bersih (bernilai) RM1 bilion sudah disediakan dan (pembinaan) Lebuhraya Pan Borneo.
“Saya menyebut (perkara) ini (kerana) nak membezakan antara proses rundingan 40 peratus hasil Sabah yang mesti diteruskan dengan kenyataan (yang) mendakwa kita mengabaikan Sabah,” katanya.
-BERNAMA