
PETRA JAYA: Rundingan masih berjalan dalam usaha mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, dan Hubungan Negeri- Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali perkara itu masih belum dimuktamadkan.
“Perbincangan mengenai perkara ini masih berjalan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Tuntutan ini adalah antara perkara utama yang terus diperjuangkan melalui perbincangan dan rundingan secara berterusan.
“Perjuangan untuk mendapatkan semula 35 peratus perwakilan (bagi Sarawak dan Sabah) dalam Parlimen akan terus dirundingkan.
“Kita masih belum ada keputusan tetap setakat ini, tetapi perbincamgan lebih mendalam akan diteruskan melalui platform-platform formal yang telah ditubuhkan.
“Ini adalah satu proses yang melibatkan semua pihak dan akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut saluran yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Festival Maal Hijrah 1447H/2025M anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di sini hari ini.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963, termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Oleh itu, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.
Oleh Shikin Mahmud