Sumber ekonomi masyarakat zaman dahulu biasanya bertani. Menjadi kebiasaan mereka untuk turun ke kebun atau sawah pada awal pagi dan hanya kembali apabila senja melabuhkan tirai.
Masa seharian dihabiskan di kebun atau sawah yang agak jauh dari rumah sehingga tiada masa berulang-alik untuk makan tengah hari atau minum petang di rumah.
Justeru bekal seadanya disediakan dan dibawa bagi mengalas perut selepas kehabisan tenaga mengerjakan kebun dan sawah.
Satu ciri bekal yang disediakan ialah ia mestilah mudah dibawa dan mudah dinikmati di mana-mana sahaja tanpa perlu mencuci bekasnya.
Maka diciptalah nasi yang dibungkus di dalam daun ini. Bekal seperti ini amat mudah dan ringkas kerana selepas nasi dinikmati, daunnya boleh dibuang dan tiada unsur pencemaran berlaku kerana ia mesra alam.
Malah lebih enak apabila nasi ini dimakan beramai-ramai sambil berteduh di kebun atau sawah, dinikmati dengan apa sahaja lauk yang disediakan.
Sebenarnya nasi ini ibarat nasi impit atau ketupat nasi yang biasa dibuat oleh masyarakat Melayu, cuma bezanya adalah daun yang digunakan untuk membungkusnya.
Menurut Angie Sinyang yang biasa membuat nasi daun ini, tidak sukar untuk menyediakan nasi ini. Nasi hanya dimasak seperti biasa di dalam periuk dan akan dibungkus di dalam daun.
Antara daun yang biasa digunakan ialah daun Buan, Kod, Ebang dan Badad (di dalam bahasa Bidayuh).
Kata Angie, nasi daun ini lebih enak dihasilkan dengan beras tanaman sendiri, apatah lagi jika beras itu baharu sahaja dituai. Aroma wangi nasi yang ditambah dengan keharuman daun segar, menjadikan nasi lebih enak.
“Selain mudah dibawa ke mana-mana, orang Bidayuh mengasilkan nasi daun ini kerana sukakan rasa unik nasi di dalam daun yang menambah wanginya,” tambahnya.
Pada musim perayaan seperti Gawai pula, nasi daun ini disediakan kerana ia merupakan salah satu tradisi yang harus dipatuhi.
“Melihat dari sudut lain pula, ia akan memudahkan tuan rumah kerana daun ini berfungsi sebagai pinggan pakai buang,” kata Angie.
Memandangkan masyarakat Bidayuh mempunyai banyak dialek, maka nama nasi ini juga pelbagai. Antaranya ialah Tubik Muos, Sungkoi Tungkus dan banyak lagi.