
KUCHING: Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-79 Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berlangsung dengan penuh adat istiadat dan kemeriahan pada pagi ini.
Acara rasmi yang diadakan di Padang Merdeka itu dimulakan pada 7.35 pagi dengan kemasukan Kawalan Keselamatan Utama dan pasukan pancaragam, menandakan permulaan istiadat penuh tradisi tersebut.


LINTAS HORMAT… Tun Wan Junaidi melakukan lintas hormat menggunakan kenderaan khas, diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sebaik sahaja Tun Wan Junaidi tiba, acara diteruskan dengan Hormat Diraja, disusuli tembakan 17 das meriam dan laluan lintas hormat udara oleh helikopter sebagai tanda penghormatan sempena sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Tun Wan Junaidi melakukan lintas hormat menggunakan kenderaan khas, diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan Premier Sarawak di pentas utama yang menyampaikan penghargaan dan ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Upacara turut diserikan dengan pemotongan kek hari lahir dan tayangan video khas di skrin LED utama yang menyorot jasa dan sumbangan Tun Wan Junaidi kepada negeri Sarawak.


LALUAN lintas hormat udara oleh helikopter sebagai tanda penghormatan sempena sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Seterusnya, perarakan 110 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan beruniform dan pertubuhan masyarakat berlangsung penuh berwarna-warni, sebelum diteruskan dengan persembahan finale yang memukau para tetamu.
Istiadat diakhiri dengan Kawalan Kehormatan Utama dan Pancaragam PDRM masuk semula ke padang untuk menyanyikan lagu Negaraku, sebelum Tun Wan Junaidi berangkat meninggalkan majlis dengan penuh istiadat pada penghujung acara.
Oleh Masrin Affirah / Shikin Mahmud