TANJUNG MANIS: Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, hari ini mengadakan lawatan ke Pusat Tenunan Songket Kampung Rajang.
Ketibaan Toh Puan disambut dengan penuh mesra oleh Pengerusi pusat tersebut, Sa’anah Suhaili, dan para penenun songket yang berdedikasi di pusat tersebut.
Menurut Sa’anah, lawatan Toh Puan membawa penghormatan besar kepada pusat tenunan tradisional yang telah beroperasi sejak 24 April 1991, dengan sejarah lebih 35 tahun.
“Kami sangat berbangga dengan kehadiran Toh Puan hari ini. Tidak disangka isteri ketua negeri sudi melawat tempat kami. Syukur Alhamdulillah, dan kami amat berterima kasih kerana beliau memilih pusat ini sebagai destinasi lawatannya,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut berkongsi bahawa Toh Puan menerima cenderamata songket dan menunjukkan minat untuk menempah kain songket yang boleh dijadikan beg, seperti hadiah yang diterimanya.
“Beliau sangat berbangga dapat bertemu dengan para penenun songket Rajang dan memahami sejarah serta tradisi yang kami usahakan sejak sekian lama,” tambah Sa’anah.
Dalam sesi lawatan tersebut, Sa’anah juga menjelaskan beberapa cabaran yang dihadapi pusat tenunan dalam mencari generasi pelapis, memandangkan kebanyakan tenaga kerja terdiri daripada golongan berusia.
Katanya, anak muda jarang berminat kerana lebih gemar bekerja makan gaji kerana menenun songket, pendapatannya bergantung kepada kualiti dan kepuasan produk.
Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa pusat tersebut menerima kunjungan dari pelbagai pihak, termasuk pelawat dari Australia dan Kuala Lumpur, namun kehadiran Toh Puan membawa kebanggaan yang tersendiri bagi mereka.
“Saya berharap kunjungan Toh Puan menjadi inspirasi dan dorongan kepada para penenun serta masyarakat untuk terus menghidupkan tradisi songket ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Pusat Tenunan Songket Rajang kini dalam perancangan untuk menghasilkan tenunan menggunakan serat nanas melalui kerjasama dengan Lembaga Nanas Malaysia.
Menurutnya, mesin pemprosesan daun nanas dijangka tiba dari Johor dalam masa terdekat untuk merealisasikan usaha ini.
Oleh TARANI LANTING dan AKUN GIMAN