ALOR GAJAH: Penerima Faedah Orang Tanggungan Nurulasyikin Mohd Ali, 32, yang sedang sarat hamil tujuh bulan, bersyukur menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas kehilangan suaminya Zulkarnain Mokhtar, akibat kemalangan jalan raya pada 15 Jun lepas.
Guru sambilan tadika Jabatan Agama Islam Melaka Kuala Sungai Baru itu berkata, bantuan bulanan sebanyak RM1,179 yang diterimanya itu, sedikit sebanyak meringankan bebannya khususnya membuat persiapan menyambut anak pertama mereka, yang dijangka lahir pada September depan.
“Syukur dan gembira kerana hari ini saya dan bakal anak yang dilahirkan, menerima Faedah Orang Tanggungan Perkeso dan ia sedikit sebanyak meringankan beban yang perlu saya tanggung, selepas suami meninggal dan pada masa sama akan melahirkan anak pertama kami, selepas enam tahun menunggu.
“Saya memang bekerja tetapi gaji harian RM35 sehari. Sebelum ini memang saya tidak risau sangat kerana suami ada dan bergantung padanya, dan bebanan itu tidak terasa,” katanya ketika ditemui Program Ziarah Prihatin Perkeso Melaka, di rumahnya di Taman Wira Indah Lubok China, Masjid Tanah di sini semalam.
Pada program itu, beliau turut menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000, yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perpaduan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman, dan turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar.
Zulkarnain, 32, juruteknik Honda Malaysia Sdn Bhd di Industrial Park Pegoh, Alor Gajah di sini, mula berkhidmat pada 16 Jun 2008 dan terlibat kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja, apabila motosikal yang ditunggangi terbabas bertembung dengan sekumpulan khinzir pada 12 Jun lepas, sebelum meninggal dunia selepas empat hari dirawat di Hospital Alor Gajah.
Nurulasyikin berkata, bantuan tersebut akan digunakan sebaik mungkin, untuk memastikan keperluan anak yang bakal dilahirkan dapat dilakukan, memandangkan sebelum ini dia dan suami tidak dapat membeli barangan keperluan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, ekoran penularan wabak Covid-19.
“Suami hanya sempat membeli beberapa helai pakaian anak yang bakal dilahirkan dan beliau memilih warna biru, kerana yakin bayi kami lelaki walaupun sebelum ini kami pernah scan untuk melihat jantinanya tetapi tidak nampak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut berterima kasih kepada Skuad Prihatin Perkeso Melaka, kerana membantu memudah dan melancarkan proses tuntutan, selain sering menghubunginya untuk bertanya khabar diri dan kandungannya.
Sementara itu Ismail berkata, semua majikan di Melaka diingatkan memastikan perusahaan atau syarikat serta pekerja mereka didaftarkan di bawah Perkeso dan melakukan caruman insuran, agar dilindungi khususnya sekiranya berlaku kemalangan di tempat kerja.
“Ia merupakan satu kewajipan bagi setiap majikan untuk memastikan caruman Perkeso dilakukan ke atas semua pekerja tempatan serta asing yang digaji mereka dan Perkeso Melaka terus melakukan pemeriksaan di premis atau syarikat, bagi mengesan majikan yang ingkar,” katanya.
Beliau berkata, bagi individu yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi, pengayuh beca dan nelayan, perlu melakukan caruman Perkeso, agar dapat meringankan beban mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan, ketika bekerja. – Bernama