KUANTAN: Istana Pahang tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikemukakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan afidavit Datuk Mohamad Nizar Najib.
Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin menerusi kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat atas nasihat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi menghormati prosiding mahkamah.
Menurutnya, beliau sudah menghadap Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah maklum berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikemukakan oleh Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan afidavit Nizar.
“Berdasarkan nasihat Menteri Besar Pahang dan saya sendiri serta bagi menghormati prosiding mahkamah, Istana Pahang tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai perkara ini kerana ia boleh mengakibatkan subjudis terhadap kes rayuan yang sedang dibicarakan di Mahkamah Rayuan Malaysia dalam Rayuan Sivil No. W-01(M)-456-07/2024.
“Kes ini dijadualkan untuk pendengaran pada 6 Jan 2025, dan keputusan mengenainya masih belum dibuat oleh mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Nizar sudah memfailkan afidavit sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan pada 5 Disember lalu.
Afidavit itu mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya mengenai kewujudan titah tambahan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi penahanan dalam rumah. – Bernama