Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Israel sasar hospital ditaja Qatar di Gaza
  • GLOBAL

Israel sasar hospital ditaja Qatar di Gaza

Utusan Sarawak 17 hours ago
RAKYAT Palestin bergerak dengan barang-barang mereka melalui Jabalia ketika mereka melarikan diri dari Semenanjung Gaza utara menuju ke Bandar Gaza, di tengah-tengah arahan pemindahan Israel dan serangan berterusan. Israel berkata pada 19 Mei ia akan ‘menguasai’ seluruh Gaza, di mana bantuan masuk buat kali pertama dalam tempoh lebih dua bulan ketika penyelamat melaporkan berpuluh-puluh terbunuh dalam serangan yang baru dipergiatkan. FOTO AFP

ISTANBUL: Hospital Pemulihan dan Prostetik Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani di Gaza yang dibiayai Qatar diserang pada Isnin, menyebabkan kerosakan material, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Qatar segera mengecam serangan itu dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada serangan meluas terhadap orang awam Palestin.

Sekurang-kurangnya satu bedilan artileri mengenai bangunan hospital itu, yang sudah beberapa hari tidak beroperasi berikutan serangan Israel yang semakin intensif di utara Gaza.

Kementerian Luar Qatar mengecam ‘sekeras-kerasnya pengeboman oleh pendudukan Israel ke atas Hospital Pemulihan dan Prostetik Hamad di Semenanjung Gaza.’

“Serangan kejam berterusan oleh pendudukan Israel di Gaza, termasuk serangan berulang kali terhadap orang awam, hospital, pusat penempatan dan kemudahan penting lain, adalah sebahagian daripada perang genosid terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Doha turut mendesak masyarakat antarabangsa memenuhi kewajipan moral moral dan undang-undang untuk menghentikan ‘perang kejam’ itu serta menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing akibat konflik berkenaan.

Hospital itu dirasmikan pada 2019, dibina di bawah penyeliaan Jawatankuasa Qatar bagi Pembinaan Semula Gaza, Kementerian Luar Qatar menerusi geran sebanyak AS$407 juta pada 2012.

Sepanjang beberapa bulan genosid berlangsung, hospital itu dan kawasan sekitarnya telah berulang kali menjadi sasaran serbuan serta pengeboman Israel, menyebabkan operasi hospital terganggu.

Pada November 2023, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari mendakwa pihak tentera menemui terowong yang digunakan kumpulan Palestin Hamas di kawasan hospital semasa operasi darat di utara Gaza.

Qatar menolak dakwaan berkenaan dan sekali lagi pada Februari 2024, Mohammed Al-Emadi, ketua Jawatankuasa Qatar bagi Pembinaan Semula Gaza menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta tiada bukti kukuh atau pengesahan bebas, lapor Agensi Berita Qatar.

Beliau menggambarkan tuduhan itu sebagai “percubaan jelas” untuk menghalalkan tindakan Israel menyerang infrastruktur awam seperti hospital, sekolah dan pusat perlindungan.

Hospital Sheikh Hamad merupakan kemudahan perubatan keempat yang diserang tentera Israel dalam tempoh seminggu, selain Hospital Eropah Gaza, Kompleks Perubatan Nasser dan Hospital Indonesia, yang dikepung pada Ahad.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza pada 8 Mei, sebanyak 38 hospital, 81 pusat kesihatan dan 164 institusi kesihatan musnah, terbakar atau tidak boleh beroperasi akibat genosid oleh Israel.– Bernama-Anadolu

Continue Reading

Previous: Rusia dan Ukraine mulakan rundingan gencatan senjata, kata Trump
Next: Raja Charles zahir sokongan kepada Biden selepas disahkan hidap kanser

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.