WASHINGTON: Kerajaan Lubnan dan Israel bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat untuk menamatkan “konflik yang dahsyat” antara Israel dan kumpulan Hizbullah, umum Presiden Joe Biden pada Selasa.
Perjanjian itu dijadual berkuat kuasa pada Rabu 4 pagi waktu tempatan, dengan menyaksikan Angkatan Bersenjata Lubnan dikerahkan dan mengambil alih kawalan di selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari akan datang.
Sepanjang tempoh itu, “Israel akan secara berperingkat mengundurkan baki tenteranya,” kata Biden dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung, lapor Agensi Anadolu.
Biden berkata Amerika Syarikat bersama Perancis dan sekutu lain berikrar untuk bekerjasama dengan Israel dan Lubnan bagi memastikan pelaksanaan sepenuhnya perjanjian ini.
Beliau menegaskan bahawa meskipun tiada tentera AS dihantar ke selatan Lubnan, “kami, bersama Perancis dan pihak lain akan menyediakan bantuan yang diperlukan untuk memastikan perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya dan berkesan.”
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh akibat serangan Israel pada Isnin, menjadikan jumlah korban sejak Oktober 2023 kepada 3,823 orang.
Seramai 160 orang lagi cedera dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah mereka yang cedera mencecah 15,859.
“Ini merupakan konflik paling dahsyat antara Israel dan Hizbullah dalam beberapa dekad. Berapa ramai pemimpin kanan Hizbullah yang terkorban, termasuk Nasrallah,” kata Biden, merujuk kepada Hassan Nasrallah yang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut pada September.
“Keselamatan berkekalan untuk rakyat Israel dan Lubnan tidak boleh dicapai hanya di medan perang dan itulah sebabnya saya mengarahkan pasukan saya untuk bekerjasama dengan kerajaan Israel dan Lubnan bagi mengadakan gencatan senjata demi menamatkan konflik antara Israel dan Hizbullah,” katanya.
Serangan udara Israel ke atas Lubnan, yang didakwa menyasarkan kedudukan Hizbullah telah meningkat sejak permulaan perang Gaza tahun lalu.
Sejak Oktober, lebih 3,760 orang terbunuh dan hampir 15,700 cedera akibat serangan Israel di Lubnan, manakala lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Israel turut melancarkan serangan darat di selatan Lubnan pada 1 Okt tahun ini, sekali gus memperluaskan konflik terbabit.
Sementara itu, Biden berkata bahawa dalam tempoh beberapa hari akan datang, Amerika Syarikat bersama Türkiye, Mesir, Qatar, Israel dan negara lain akan meneruskan usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza.
Matlamat ini termasuk menghentikan serangan Israel di wilayah itu serta pembebasan lebih 100 tawanan yang masih ditahan.
Beliau turut menambah bahawa Washington bersedia menyempurnakan beberapa perjanjian bersejarah dengan Arab Saudi, termasuk pakatan keselamatan, jaminan ekonomi serta laluan jelas ke arah penubuhan sebuah negara Palestin.– BERNAMA-AA