NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan resolusi menuntut secara rasmi penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan dan sekatan dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Resolusi yang tidak mengikat itu dibuat berdasarkan pendapat nasihat dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan sejak 1967 berkenaan ‘melanggar undang-undang.’
Ia diluluskan selepas hasil pengundian mencatat keputusan 124 negara anggota PBB menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali, dengan delegasi Palestin menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai ‘bersejarah.’
Amerika Syarikat (AS) mengundi menentang resolusi itu, begitu juga Hungary, Republik Czech dan beberapa negara kepulauan kecil.
Terdahulu, negara-negara Arab telah meminta sesi khas itu diadakan, beberapa hari sebelum pemimpin dunia bertemu di ibu pejabat PBB untuk Perhimpunan Agung.
Resolusi itu – kali pertama diperkenalkan oleh delegasi Palestin bawah hak baharu diperoleh tahun ini – menuntut Israel ‘menamatkan tanpa lengah kehadirannya yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki.’
Ia sekali gus menuntut pengunduran Israel ‘dalam tempoh tidak lebih 12 bulan’ dari tarikh resolusi itu diterima pakai. Draf sebelum ini memberi tempoh enam bulan.
Resolusi berkenaan juga menuntut pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin; pembinaan penempatan baharu dihentikan; pemulangan semula tanah dan harta benda yang telah dirampas; serta kemungkinan kembalinya rakyat Palestin yang telah dipindahkan.
Bagaimanapun, perenggan yang menggesa negara anggota untuk menghentikan eksport senjata ke Israel hilang daripada deraf teks semasa rundingan.
Walaupun Majlis Keselamatan PBB (UNSC) gagal membantu berhubung krisis di Gaza, Amerika Syarikat (AS) berulang kali mengecam sekutunya Israel.
Pada Mei lalu, perhimpunan itu menyokong resolusi simbolik mengenai keanggotaan penuh Palestin dalam PBB, memperoleh 143 undi menyokong, sembilan menentang dengan 25 berkecuali.
Walaupun resolusi UNGA tidak mengikat, Israel tetap mengecam teks baharu itu sebagai ‘memalukan’.
Serangan Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 41,226 orang di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas, yang tidak memberikan pecahan kematian orang awam dan pejuang.
Pejabat hak asasi PBB mengatakan kebanyakan yang mati adalah wanita dan kanak-kanak. – AFP