Ismail Sabri bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok

Facebook
WhatsApp
PUTRAJAYA, 13 Mac - Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai memberi keterangan selama hampir lima jam, hari ini. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri, 66, ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan anak guamnya akan hadir ke mahkamah esok.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes terhadap Ismail Sabri akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9.00 pagi.

Ahli Parlimen Bera itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan harta.

Ismail Sabri sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh berkenaan (27 Ogos) selepas Amer Hamzah memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).

Amer Hamzah berkata anak guamnya mengalami masalah jantung ketika rakaman percakapan dengan SPRM pada 6 Ogos lepas.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – Bernama

Kuching tuan rumah FEIAP 2026

PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti kejuruteraan Asia Pasifik apabila menjadi tuan rumah Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP)