ISLAM telah tersebar di Kepulauan Melayu lebih awal daripada kedatangan orang Barat. Pedagang-pedagang Arab dan Parsi serta India menjadi orang penting dalam memperkenal dan menyebar agama Islam ke Kepulauan Melayu.
Ada juga mengatakan bahawa orang China memain peranan penting dalam penyebaran ini. Ini kerana Islam lebih awal datang ke China daripada Kepulauan Melayu. Pedagang-pedagang China dari Guangzhou menjadi penggerak utama penyebaran Islam di rantau ini.
Pengaruh Islam ini juga tersebar ke Sarawak. Kebanyakan penduduk pesisir pantai menerima Islam terutama orang Melayu. Perkembangan Islam semakin teguh apabila Brunei meluaskan pengaruhnya di Sarawak. Selain orang Melayu, Islam juga disebar dalam kalangan orang Melanau dan Kadayan serta beberapa etnik lain.
Kehidupan masyarakat Islam di Sarawak ini tidak menimbulkan ketegangan dengan penduduk bukan Islam. Malahan mereka hidup harmoni dengan penduduk bukan Islam.
Kedatangan Brooke
Apabila James Brooke mengambil Sarawak daripada Sultan Brunei, timbul kerisauan sesetengah pemimpin Melayu di Sarawak akan masa depan Islam. Ini kerana James Brooke merupakan seorang yang beragama Kristian dan akan menjadi raja di Sarawak.
Reaksi awal tentang kehadiran James Brooke ini dilihat oleh mubaligh Kristian ketika itu adalah amat menakjubkan. Ini kerana di surau-surau penuh dengan orang Islam menunaikan solat fardu. Malahan mereka bersolat juga di perahu-perahu mereka. Satu peraturan juga diperkenalkan untuk mendenda orang Islam tidak bersolat ketika itu.
Jaminan Sultan Brunei
Salah satu perkara yang dipegang oleh James Brooke apabila menerima penyerahan Sarawak daripada Brunei ialah tidak akan campur tangan adalam urusan adat dan agama Islam di Sarawak. Ini ialah perkara yang disyaratkan oleh Sultan Brunei.
Atas sebab itu kerajaan Brooke tidak mengenakan sekatan kepada aktiviti umat Islam di Sarawak. Tambahan daripada itu James Brooke tidak mahu hilang sokongan orang Melayu dan ia perlu menghormati agama Islam di Sarawak.
Dua perkara ini membantu Islam tidak diganggu oleh kerajaanan Brooke. Malahan ia dipelihara oleh kerajaan Brooke. Hal ini dibuktikan dengan amaran kerajaan Brooke kepada mubaligh Kristian untuk tidak menyebar agama Kristian dalam kalangan orang Islam di Sarawak.
Walau bagaimanapun ada juga pihak cuba melakukan perkara ini. Namun ia tidak berjaya walaupun diperkenalkan sistem pendidikan dan kesihatan moden dalam kalangan orang Melayu.
Perkembangan Islam
Dasar Brooke yang tidak campur tangan dalam urusan orang Islam ini membawa kepada beberapa perkembangan yang positif dalam aktiviti orang Islam. Hal ini boleh dilihat dengan pengiktirafan kerajaan Brooke terhadap beberapa amalan orang Islam.
Pengiktirafan ini boleh dilihat dengan menghormati Ramadan sebagai bulan umat Islam mengerjakan rukun Islam ke-3. Sebanyak 14 tembakan meriam tanda hormat dibuat di Kuching bagi menandakan puasa bermula di Sarawak. Di bandar dan pekan kecil juga keadaan sama turut dilakukan untuk mengingatkan umat Islam untuk menunaikan ibadah puasa.
Bagi hari raya pula selain tembakan mariam menandakan tamatnya puasa, hari raya juga diisytiharkan cuti umum. Cuti umum ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti bertuntong dan berziarah ke rumah umat Islam. Malahan pegawai kerajaan juga akan melawat rumah umat Islam.
Manakala umat Islam di Sarawak juga dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji. Terdapat agen kerajaan Brooke menguruskan aktiviti ini di tanah Arab. Pada tahun 1911 sahaja seramai 235 orang Islam menunaikan fardu haji dari pelbagai tempat di Sarawak. Hanya kerisauan dalam kalangan pegawai Brooke dalam hal ini ialah ramai umat Islam berhutang selepas menunaikan fardu haji ini.
Masjid
Terdapat juga usaha membina masjid dalam kalangan penduduk Islam di Sarawak. Antara masjid yang amat bersejarah dalam kalangan penduduk Islam di Kuching ialah Masjid Besar Kuching. Pembinaan masjid ini menggantikan masjid kecil yang dibina pada tahun 1839.
Atas kesedaran masyarakat Islam di Kuching maka usaha dibuat untuk membina masjid yang lebih besar. Tujuannya selain meningkatkan syiar Islam, ia juga untuk menampung pertambahan penduduk Islam yang semakin ramai di Kuching.
Akhirnya pada tahun 1852 maka masjid ini siap dibina. Masjid ini menjadi pusat aktiviti umat Islam di Kuching. Pada tahun 1935 masjid ini dibaik pulih. Masjid ini semakin diemarakkan apabila bermulanya Ramadan dengan aktiviti pertandingan membaca al Quran dijalankan.
Kehadiran masyarakat India Muslim di Kuching membuka satu lagi ruang penting dalam perkembangan Islam. Mereka ini juga telah membina masjid di Kuching sekitar tahun 1870-an. Masjid ini biasa dikenali oleh penduduk Kuching sebagai Masjid India.
Masjid India ini juga mengadakan pelbagai aktiviti ceramah dan kuliah agama untuk umat Islam. Apa yang menariknya juga dalam perkembangan masjid ini ialah kemunculan institusi pendidikan Islam. Kemunculan madarasah ini telah memperkukuhkan aktiviti pendidikan Islam di Kuching.
Umat Islam juga tidak ketinggalan memperteguhkan Islam dengan pembinaan masjid di luar Kuching. Antaranya ialah Masjid Al-Qadim di Sibu. Masjid ini dibina sekitar tahun 1861. Ada juga yang mengatakan masjid ini dibina lebih awal iaitu pada tahun 1830-an.
Masjid ini dibina di persekitaraan Kampung Nyabor yang dapat menghidupakan aktiviti umat Islam di Sibu. Masjid ini bukan sahaja memberi ruang untuk umat Islam di Sibu untuk menunaikan solat tetapi juga membuka ruang kepada kelas mengaji al-Quran dan aktiviti berzanji serta kuliah agama.
Jawatan
Pada zaman Brooke ini juga terdapat dua jawatan penting diwujudkan untuk memelihara kedudukan orang Islam di Sarawak. Pertamanya adalah jawatan Datu Imam. Jawatan ini diwujudkan untuk urusan ehwal tentang ibadah umat Islam terutama di Kuching.
Satu lagu jawatan diwujudkan ialah Datu Hakim. Jawatan ini penting untuk mengurus urusan harian umat Islam terutama soal perkahwinan dan perceraiaan serta undang-undang Islam.
Selepas itu diwujudkan Balai Datu. Balai Datu menjadi pusat pertemuaan datu-datu Melayu untuk membincangkan tentang hal ehwal orang Melayu dan Islam.
Institusi ini juga mengendalikan hal ehwal keluarga Islam. Kewujudan Balai Datu ini telah membawa pertemuan datu-datu Melayu memperteguhkan undang-undang Islam. Kewujudan undang-undang ini menunjukkan seriousnya umat Islam di Sarawak untuk membentuk satu undang-undang Islam yang lebih sistematik. Antara perkara yang disentuh dalam undang-undang ini ialah tentang perwarisan harta, pertelingkahan kecil dan penderaan serta perceraian dan perkahwinan.
Pada tahun 1938 pula diwujudkan Majlis Islam yang bertanggungjawab mengurus hal ehwal umat Islam di Sarawak. Badan ini penting untuk menyelesaiakan masalah umat Islam di Sarawak.
Wadah Baharu
Aktiviti umat Islam di Sarawak semakin berkembang apabila wujudnya akhbar Fajar Sarawak pada tahun 1930. Akhbar ini memberi ruang kepada pembaca untuk mendapat ilmu daripada ruang bicara agama Islam.
Selain akhbar ini wujudnya Persatuan Melayu Sarawak menambahkan lagi usaha memperteguhkan Islam di Sarawak. Antara agenda penting dilakukan oleh persatuan ini ialah rancangan membina sekolah agama di Kuching.
Secara keseluruhannya, perkembangan Islam di Sarawak semasa Brooke tidak mengalami masalah besar. Islam dihormati oleh kerajaan Brooke dan aktivitinya dibenarkan bergerak dengan bebas.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.