
BULI merupakan satu bentuk penindasan yang semakin membarah dalam masyarakat hari ini. Ia bukan sekadar menyakitkan secara fizikal, bahkan lebih parah apabila meninggalkan kesan psikologi dan emosi yang mendalam kepada mangsa.
Malah, dalam Islam segala bentuk kezaliman, penganiayaan dan penindasan adalah perbuatan yang dikecam keras.
Buli dalam apa jua bentuk sekalipun, sama ada secara fizikal, lisan, mental mahupun dalam talian. Ia merupakan perlakuan yang bertentangan dengan akhlak Islam.
Agama Islam menganjurkan kasih sayang, tolong menolong dan menjaga maruah serta hak sesama insan, bukan mencederakan atau merendahkan orang lain demi kepuasan diri.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang Islam yang sempurna keislamannya adalah apabila orang-orang Islam lain terselamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (riwayat Bukhari)
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diperolokkan itu lebih baik daripada mereka yang memperolok-olokkan.”
Ayat ini jelas menunjukkan larangan memperlekeh atau menghina orang lain, apatah lagi menyakiti mereka secara berterusan seperti mana yang berlaku dalam kes buli.
Islam menuntut setiap individu untuk menjaga lisan, tindakan, dan hati daripada menyakiti saudara seagama atau manusia secara umum.
Buli menafikan hak seseorang untuk hidup dengan aman, dan ia bertentangan dengan semangat keadilan serta kasih sayang yang diajar oleh Islam.
Sesama Muslim seharusnya saling menyokong, melindungi dan membantu, bukan sebaliknya menjadi punca penderitaan dan tekanan kepada orang lain.
Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang terbaik dalam menunjukkan akhlak yang mulia terhadap semua manusia tanpa mengira darjat, warna kulit, atau latar belakang.
Baginda SAW tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan, sebaliknya sentiasa menunjukkan kelembutan, sabar, dan belas kasihan. Sabda Baginda SAW dalam hadis riwayat Muslim: “Seorang Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya (dalam kesusahan).”
PERANAN UMAT ISLAM DALAM MEMBANTRAS BULI
Setiap individu mempunyai tanggungjawab moral untuk membanteras budaya buli dalam masyarakat. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangan, jika tidak mampu maka dengan lidah, dan jika tidak mampu juga maka dengan hati dan demikian itu selemah-lemah iman.” (riwayat Muslim)
Hadis ini menegaskan bahawa membiarkan kemungkaran berlaku tanpa sebarang tindakan adalah tanda kelemahan iman.
Tindakan menegur atau melaporkan kejadian buli bukanlah satu bentuk campur tangan yang negatif, tetapi adalah salah satu tanggungjawab keimanan.
Setiap perbuatan tidak akan pernah terlepas dari catatan dan hitungan malaikat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 49: “Dan diletakkan kitab (buku amalan), maka kau dapat melihat golongan yang melakukan dosa-dosa berasa takut terhadap apa yang terdapat di dalamnya. Dan mereka berkata: “alangkah celakanya kami ini, kitab apakah yang tidak terlepas dosa kecil dan dosa besar melainkan kesemuanya tercatat!”. Mereka mendapati apa yang telah mereka kerjakan sebelum ini dan Tuhan kamu tidak pernah menzalimi seseorang pun.”
Kesimpulannya, Islam sangat jelas dalam menolak sebarang bentuk penindasan, termasuklah buli. Ia buakan sahaja mencemar imej seorang Muslim, tetapi ia menyalahi ajaran al-Quran dan sunnah.
Akhlak Islam adalah akhlak yang membawa kedamaian, bukan kebencian, yang mengangkat maruah orang lain dan bukan menjatuhkannya.

Hijrah Saidina Ali Ra
PERISTIWA hijrah Rasulullah SAW bagi Saidina Ali Ra untuk mencatatkan salah satu contoh paling jelas atas jiwa kepahlawanan beliau serta kekuatan harga diri, keberanian dan ketulusannya dalam membela dan mentaati perintah Rasulullah SAW sejak beliau masih kecil lagi.
Ketika baginda telah bersiap untuk berhijrah dan setelah memberitahu Saidina Abu Bakar tentang rencana tersebut, pada malam saat Rasulullah SAW akan meninggalkan rumahnya, Jibril datang kepada baginda lalu memberitahukan bahawa kaum Quraisy telah bersepakat untuk membunuh baginda Maka, pada malam itu, sekelompok pemuda Quraisy telah mengepung rumah Rasulullah SAW.
Maka Jibril menyuruh baginda untuk tidak tidur di tempat baginda biasa tidur.
Ketika menjangkau sepertiga malam pertama, mereka berkumpul di depan pintu rumah Rasulullah SAW untuk mengintai tindak-tanduk baginda Mereka kemudiannya menunggu baginda tidur supaya mereka boleh menangkap baginda. Saat Rasulullah SAW mengetahui keberadaan mereka di luar, baginda berkata kepada Saidina Ali Ra, “Wahai Ali, tidurlah di atas tempat tidurku. Selubungilah tubuhmu dengan selimutku yang berwarna hijau dan tidurlah di sana. Sesungguhnya tidak akan terjadi sesuatu yang berbahaya padamu dari tindakan mereka”.
Setelah itu Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Waktu itu Allah telah menghalangi pandangan para pemuda Quraisy yang berjaga di depan pintu rumah baginda.
Kisah ini telah diriwayatkan oleh Ibnu Kathir di dalam Bidayah Wan Nihayah dan beliau mengklasifikasikan kisah ini dengan taraf hasan. Kisah ini juga dinukilkan oleh Ibnu Ishaq dan Ibnu Hisyam di dalam kitab sirah mereka.
Allah SWT telah melindungi Saidina Ali Ra dari pedang pemuda-pemuda Quraisy tersebut.
Setelah berlakunya peristiwa itu, Saidina Ali Ra tinggal di Mekah selama tiga hari untuk mengembalikan barang-barang milik penduduk-penduduk Mekah yang telah diamanahkan pada baginda untuk disimpan.
Setelah barang-barang tersebut selesai dipulangkan kepada pemilik-pemiliknya, Saidina Ali Ra pun mula berangkat berhijrah ke Madinah.
Saidina Ali berkata, “Ketika Rasulullah SAW berangkat untuk berhijrah ke Madinah, baginda menyuruhku untuk tinggal beberapa hari di Mekah supaya aku dapat mengembalikan barang-barang yang diamanahkan pada baginda (untuk disimpan), kerana itulah baginda digelar Al Amin (orang yang terpercaya). Maka aku tinggal (di Mekah) selama tiga hari. Aku selalu menampakkan diri dan tidak pernah bersembunyi (dari orang-orang Quraisy). Kemudian aku berangkat mengikuti jalan yang ditempuh Rasulullah SAW hingga aku sampai ke perkampungan Bani Amr bin Auf. Pada ketika itu, Rasulullah SAW tinggal di sana, maka aku singgah di kediaman Kulthum bin Al Hidm, di sanalah Rasulullah SAW tinggal”.
Setelah Rasulullah SAW tiba di Madinah, baginda telah membina sebuah masjid. Kemudian baginda telah meletakkan satu kaedah yang penting bagi menyatukan masyarakat-masyarakat Islam yang baru, iaitu dengan mempersaudarakan antara kaum Muhajirin (dari Mekah) dan Ansar (penduduk asal Madinah).
Oleh yang demikian, baginda menetapkan supaya seorang Ansar memilih seorang saudara dari kaum Muhajirin agar semua orang-orang Islam berada dalam satu barisan dan menjelma seperti satu tubuh.
Di mana jika salah satu daripada anggota tubuh tersebut sakit, maka seluruh anggota akan turut merasa sakit. Pada ketika itu, Saidina Ali Ra dipersaudarakan dengan seorang sahabat dari kalangan Ansar iaitu Sahl bin Hunaif Al Ansari.
Hanzalah Azman