SIBU: Platform ‘iSarawak Care’ memudahkan orang ramai untuk memohon pelbagai pakej bantuan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan di bawah satu platform.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya telah bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk mendigitalkan semua perkhidmatan utama kementerian dalam aplikasi dalam talian.
“Apabila siap kelak, kementerian kita akan menjadi yang pertama mempunyai sebuah platform sehenti yang bukan hanya menyediakan pelbagai bentuk bantuan, tetapi juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain dari pelbagai agensi.
“Sebagai contoh kes melibatkan jenayah domestik, rumah orang tua atau rumah kanak-kanak, mereka juga boleh melayari platform ini untuk mendapatkan bantuan atau maklumat lebih lanjut.
“Ini adalah satu usaha yang besar. Apabila siap, kita akan menjadi satu-satunya kementerian yang bergabung dengan pelbagai agensi di bawah satu platform,” katanya, ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Taklimat Bantuan di Dewan MUC, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Noriah Ahmad, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Nangka Sayed Azmee Wan Junaidi dan yang lain.
Beliau berkata, pakej bantuan dan perkhidmatan dari Kerajaan Persekutuan juga akan dimasukkan ke dalam platform ini bagi memudahkan orang ramai untuk memohon pelbagai pakej bantuan di bawah satu platform.
Katanya, ini adalah usaha yang agak besar kerana bantuan dan perkhidmatan dari Kerajaan Persekutuan sudah mempunyai sistem mereka sendiri.
“Jadi, untuk memudahkan urusan rakyat, kita perlu bergabung dengan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Fatimah percaya bahawa iSarawak Care akan mempercepat proses dan penghantaran permohonan bantuan kebajikan terutama melibatkan kementeriannya.
Katanya lagi, dengan inisiatif digital terkini, ia akan mengurangkan kerumitan rakyat untuk berurusan dengan kerajaan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan akan ditingkatkan.
“Apa sahaja bentuk bantuan yang mereka mohon atau pernah mohon, mereka hanya perlu melayari platform (iSarawakCare) ini sahaja,” katanya.
Selain itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, sehingga kini pelbagai bantuan yang ditawarkan menerusi kementerian termasuk pemberian Endowment Fund (EFS), Insentif Ibu Bersalin, Geran Tahunan Khas, Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang dan Kenyalang Gold Card (KGC).
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan semua bentuk bantuan, sama ada telah dilaksanakan sebelum atau selepas pandemik Covid-19.
“Kebanyakan inisiatif ini telah bermula sebelum pandemik dan masih lagi tersedia sehingga ke hari ini atau mungkin akan diteruskan selepas pandemik.
“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD