
LONDON: Penyerang Sweden Alexander Isak kembali memperkuat Liverpool apabila disenaraikan dalam skuad menentang Paris Saint-Germain bagi aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA pada 3.00 pagi esok.
Isak yang lama tersisih akibat kecederaan akhirnya pulih selepas 15 minggu, sekali gus memberi suntikan moral besar buat skuad kendalian Arne Slot.
Pemain berusia 26 tahun itu sebelum ini mengalami patah fibula selepas tercedera dalam aksi menentang Tottenham Disember lalu, yang memaksanya menjalani pembedahan.
Kepulangannya amat dinanti selepas Liverpool bergelut dengan prestasi tidak menentu, termasuk dibelasah Manchester City 4-0 dalam suku akhir Piala FA.
Kini di tangga kelima liga, The Reds dilihat tiada pilihan selain mengharapkan keajaiban di Eropah bagi menyelamatkan musim mereka. – AFP