
Pemain Kosovo Florent Muslija memecut laju ke arah gawang Sweden. Foto AFP
PRISTINA, Kosovo: Harapan Sweden untuk layak ke Piala Dunia terjejas apabila tewas 0-2 di tempat lawan kepada Kosovo yang kehilangan Lindon Emerllahu pada lewat permainan selepas menerima kad kuning kedua.
Pasukan Sweden, yang sebelum ini dibolosi gol penyamaan minit ke-90 ketika seri 2-2 menentang Slovenia Sabtu lalu, ketinggalan pada minit ke-26 apabila penjaga gol Robin Olsen menepis percubaan Elvis Rexhbecaj, namun bola lantunan terkena kaki pemain tengah itu dan terus masuk ke dalam gawang.
Vedat Muriqi menjadikan kedudukan 2-0 untuk Kosovo tiga minit sebelum rehat.
Walaupun Sweden memasukkan Alexander Isak, pemain paling mahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris selepas berpindah ke Liverpool tetapi gagal mencari jalan untuk bangkit dalam perlawanan itu.
Kemenangan itu membawa Kosovo ke tempat kedua dalam Kumpulan B dengan tiga mata, tiga mata di belakang Switzerland yang membelasah Slovenia 3-0 untuk mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Sweden berada di tempat ketiga dengan satu mata, mengatasi Slovenia berdasarkan perbezaan gol.
Pasukan teratas setiap kumpulan akan layak terus ke pusingan akhir tahun depan, manakala pasukan naib juara akan memasuki pusingan play-off.