

PELAKON, Irfan Zaini ketika temu bual eksklusif bersama Bernama di Wisma BERNAMA, baru-baru ini. Irfan, atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 30, mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya muncul dalam tiga buah filem Tamil bersama-sama bintang tersohor Thalapathy Vijay, 51, yang kini turut aktif dalam arena politik di Tamil Nadu, India. Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Di sebalik raut wajah tenang dan senyuman merendah diri, pelakon sedang meningkat naik Irfan Zaini menyimpan impian besar bukan sekadar mahu dikenali di layar tempatan, tetapi mahu menjadi penghubung industri filem Malaysia dengan pentas antarabangsa.
Irfan, atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 30, mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya muncul dalam tiga buah filem Tamil bersama-sama bintang tersohor Thalapathy Vijay, 51, yang kini turut aktif dalam arena politik di Tamil Nadu, India.
Pelakon muda berasal dari Kuala Lumpur itu bermula dengan filem Kuruvi (2008) ketika berusia 12 tahun, diikuti Greatest of All Time (GOAT) (2024), dan kini Jana Nayagan yang sedang menjalani penggambaran dan dijangka ditayangkan awal tahun depan.
Menurut Irfan, peluang berlakon di India tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan hampir lima tahun berulang-alik ke sana termasuk bertemu pengarah dan penerbit, selain pernah ditipu oleh individu yang memberi janji palsu.
“Orang ingat saya ke sana terus dapat peluang berlakon, tapi sebenarnya saya pernah hilang masa, duit dan tenaga yang banyak. Ramai lagi yang menunggu giliran (berlakon), tapi saya dikira bernasib baik kerana saya memang desperate untuk berlakon di India,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, di sini baru-baru ini.
Katanya dalam mencari peluang menembusi industri Kollywood, tidak ada strategi tepat yang boleh diikuti, namun disebabkan oleh keinginan mendalam beliau bekerja keras dan bersabar menunggu peluang terbuka.
“Mungkin kalau orang lain, mereka akan berputus asa separuh jalan,” katanya.
Irfan yang mula dikenali dalam kalangan peminat Melayu selepas membintangi filem Blood Brothers: Bara Naga, berkata pengalaman berlakon di India membuka matanya tentang budaya kerja yang berbeza dengan sesebuah produksi dikendalikan secara lebih profesional dan tersusun.
“Kalau di Malaysia, untuk hasilkan sebuah filem, kita mungkin hanya ada dua hingga empat pembantu pengarah. Tapi di India, mereka boleh ada lebih 20 pembantu pengarah.
“Mereka ditugaskan secara khusus, ada yang urus lokasi penggambaran, ada yang bantu ratusan hingga ribuan kru, dan ada juga yang fokus kepada merancang set kompleks seperti adegan aksi berskala besar. Semua ini perlu diselaras secara cekap dan pantas,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan tenaga kerja filem di India berada di bawah kesatuan industri perfileman yang berperanan menjaga kebajikan ahli termasuk pemberian pampasan sekiranya berlaku kecederaan atau kematian semasa penggambaran.
“Tapi, kalau dari sudut kualiti, seperti penggunaan kamera dan storyline, saya rasa Malaysia sudah hampir setanding dengan India walaupun filem kita kebanyakannya dihasilkan dengan kos yang kecil,” katanya yang bertekad untuk tidak sekadar mencipta nama di luar negara, tetapi turut membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara industri filem Malaysia dan antarabangsa.
Beliau mengambil contoh industri filem India yang kini giat menghasilkan filem berkonsepkan pan-India, menggabungkan pelakon dan tenaga kerja dari pelbagai wilayah seperti Tamil, Telugu, Hindi dan Malayalam, serta ditayangkan serentak dalam pelbagai bahasa sehingga mencipta fenomena berskala nasional.
“Kalau mereka boleh gabungkan pelakon daripada budaya dan bahasa yang berbeza, saya percaya kita juga boleh mula kolaborasi dengan negara jiran seperti Korea, Thailand atau Indonesia.
“Jadi apabila pelakon luar ada dalam filem kita, pasaran kita pun akan jadi lebih besar,” katanya yang melihat model itu mampu melonjakkan kedudukan filem Malaysia di persada global.– Bernama