
PETALING JAYA: Pelakon Irfan Zaini menyifatkan filem biopik ‘Terbang’ bukan sekadar penampilan sulungnya sebagai hero filem Melayu, tetapi peluang memperkenalkan kisah legenda rali negara Karamjit Singh kepada generasi muda.
Pemilik nama penuh Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 30, berkata memainkan watak Karamjit atau ‘Ajeet’ memberi cabaran tersendiri kerana selain membawakan kisah tokoh sukan permotoran negara itu, beliau juga perlu memahami dunia sukan rali yang begitu asing baginya.
“Saya bersyukur sangat dapat watak ini kerana ia satu karakter ikonik. Pada mulanya saya rasa bersalah juga sebab saya hanya kenal Karamjit sebagai ‘drifter’ dan pelaku aksi lagak ngeri, sedangkan beliau sebenarnya juara rali.
“Jadi saya rasa watak ini perlu dibawa kepada penonton, terutama Gen Z yang mungkin belum mengenali sisi beliau sebagai wira rali negara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Astro X3 dan barisan kandungan hiburan baharu Astro, di sini semalam.
Bagi menghidupkan karakter berkenaan, Irfan yang sebelum ini membintangi filem aksi Blood Brothers: Bara Naga meluangkan masa bersama-sama Karamjit untuk memahami cara legenda rali itu berjalan, bercakap, memandu serta emosi yang dilalui sepanjang kariernya.

Irfan berkata menariknya, beberapa aksi pemanduan lasak dalam naskhah itu dilakukan sendiri oleh Karamjit yang turut bertindak sebagai pelakon lagak ngeri.
“Saya berlakon sebagai beliau, tetapi beliau pula menjadi ‘stunt double’ saya. Itu memang luar biasa kerana ada beberapa aksi kereta yang orang biasa tidak mampu lakukan,” katanya.
Pelakon drama bersiri Luka di Hujung Setia itu mengakui pengalaman berada di sebelah Karamjit ketika sesi penggambaran membuatkan beliau semakin mengagumi aura juara dunia yang masih aktif dalam sukan tersebut pada usia 64 tahun.
“Cara beliau memandu memang berada pada aras yang berbeza, sangat ‘crazy’. Saya sendiri pernah duduk di sebelahnya dan jujurnya memang seram, tetapi pada masa yang sama amat mengagumkan,” katanya, menambah beliau juga menjalani latihan pemanduan rali selama tiga bulan.
“Saya beritahu pengarah, kalau selepas latihan saya masih tidak mampu membawakan watak ini, saya rela jika watak itu diberikan kepada pelakon lain kerana saya tidak mahu merosakkan watak ini. Alhamdulillah, pengarah berpuas hati dengan prestasi saya, termasuk dari segi lakonan,” katanya.

Bagi memastikan jalan cerita lebih menarik, Irfan berkata karya itu diolah dengan sedikit elemen dramatik dan bukan hanya memaparkan dunia perlumbaan, tetapi turut mengetengahkan elemen cinta, konflik, pengorbanan serta emosi, selain disuntik elemen humor.
“Produksi turut menggunakan kereta sebenar milik Karamjit serta menjalani penggambaran di beberapa lokasi sebenar termasuk New Zealand dan bengkel EON yang kemudian dirobohkan selepas penggambaran,” katanya yang berharap filem itu dapat membuka ruang untuk masyarakat lebih menghargai sumbangan Karamjit dalam arena permotoran negara.
Filem terbitan Astro Shaw dan beberapa produksi lain itu diarahkan oleh Chiu Keng Guan dan turut dibintangi Zizan Razak, Jack Tan, Namron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz dan Qasrina Karim, serta bakal ditayangkan di pawagam tempatan pada September ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Irfan meluahkan rasa syukur atas sokongan berterusan peminat apabila lakonannya mendapat sambutan luar biasa serta maklum balas positif daripada orang ramai.
“Saya tidak sangka dengan penerimaan tersebut dan hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana tanpa sokongan peminat, tiadalah saya. Saya berjanji akan terus memberikan yang terbaik,” katanya. – Bernama