
Potret jeneral tentera dan saintis nuklear Iran yang terbunuh dalam serangan Israel pada 13 Jun dipamerkan, sementara kepulan asap tebal dan api marak kelihatan di sebuah loji penapisan minyak di selatan Tehran, selepas ia diserang Israel pada waktu malam, pada 15 Jun 2025. - Foto AFP
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, hari ini berkata Iran bersedia menghentikan serangannya ke atas Israel sekiranya Tel Aviv menamatkan serangan ke atas Tehran, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada duta asing di Tehran, Araghchi menegaskan bahawa peperangan itu telah ‘dipaksakan’ ke atas Tehran dan Iran tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas.
“Pertahanan kami adalah sah sepenuhnya dan akan dilaksanakan dengan tegas, semata-mata sebagai tindak balas terhadap pencerobohan,” katanya.
“Jika serangan dihentikan, tindakan balas Iran juga akan dihentikan.”
Ketegangan meningkat secara mendadak antara Iran dan Israel susulan serangan udara bersepadu Israel ke atas beberapa lokasi di Tehran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear pada Jumaat, yang mencetuskan serangan balas Iran dalam beberapa jam selepas itu.
Pada malam Sabtu, Iran melancarkan gelombang kedua operasinya yang dinamakan “True Promise III”, dengan menyasarkan terutamanya kemudahan ekonomi dan industri di bandar pelabuhan Israel, Haifa.
Pada masa sama, serangan Israel mengenai Kementerian Pertahanan dan depot minyak di Tehran.
Iran memaklumkan seramai 78 orang terbunuh pada hari pertama serangan Israel, manakala puluhan lagi, termasuk kanak-kanak, terkorban pada hari kedua.
Pertempuran ini turut menyebabkan rundingan nuklear tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat yang dimediasi Oman tergendala.
Pusingan keenam rundingan itu dijadual berlangsung di Muscat hari ini. – BERNAMA-ANADOLU