DUBAI: Masyarakat dunia harus menentang penggunaan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk memenuhi kehendaknya, yang disifatkan sebagai pembuli, kata Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif.
Kenyataan itu dibuat susulan rancangan Presiden Donald Trump untuk mengeluarkan perintah eksekutif yang membolehkannya melaksanakan sekatan kepada sesiapa yang melanggar sekatan senjata terhadap Iran, menurut sumber.
Sekatan itu akan berakhir pada Oktober ini.
Semalam, pentadbiran Trump mengatakan semua sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran harus dikekalkan dan sekatan senjata konvensional tidak akan berakhir lagi pada pertengahan Oktober.
“Tindakan Amerika sebagai pembuli….masyarakat dunia harus memutuskan bagaimana hendak bertindak terhadap pembuli,” kata Zarif menerusi stesen televisyen beberapa jam sebelum AS bertindak untuk melaksanakan sekatan PBB terhadap Iran.
“Negara lain akan menghadapi hal yang sama esok ketika Amerika mengambil tindakan yang sama terhadap projek Nord Stream, dan juga projek lain kerana pembuli akan terus bertindak sebagai pembuli jika ia diizinkan melakukannya sekali,” Zarif berkata.
AS dan banyak negara Eropah menentang saluran paip Nord Stream 2, yang didakwa mereka akan meningkatkan pergantungan Eropah terhadap gas Rusia.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengawal Revolusi Elit Iran pula menolak sebarang kemungkinan berlaku konflik ketenteraan dengan AS.
“Tiada kuasa, termasuk AS, mempunyai syarat untuk memaksakan perang baharu ke atas negara Iran, jadi orang ramai tidak perlu khuatir tentang pembohongan oleh Presiden AS,” kata Hossein Salami.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Salami sebagai tindak balas terhadap ciapan Trump minggu ini yang menyatakan setiap serangan Iran terhadap AS akan disambut oleh respons ‘1,000 kali lebih besar’.
– AFP