Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Iran bakal kemuka aduan kepada FIFA berhubung sekatan perjalanan Piala Dunia
  • SUKAN

Iran bakal kemuka aduan kepada FIFA berhubung sekatan perjalanan Piala Dunia

Utusan Sarawak 6 hours ago
IRAN bakal kemuka aduan kepada FIFA berhubung sekatan perjalanan Piala Dunia. Foto agensi.

ISTANBUL: Persekutuan bola sepak Iran hari ini memaklumkan akan mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap pasukan kebangsaannya semasa Piala Dunia 2026, dengan berhujah bahawa langkah itu meletakkan skuad berkenaan dalam keadaan tidak setara berbanding pasukan lain, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Aduan itu dibuat selepas Iran dimaklumkan bahawa mereka hanya dibenarkan tiba di Los Angeles 24 jam sebelum perlawanan Kumpulan G menentang Belgium pada Ahad, walaupun telah meminta untuk melakukan perjalanan dua hari lebih awal sebagai sebahagian daripada persiapan mereka.

Di bawah syarat visa, pemain dan kakitangan Iran hanya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS) sehari sebelum perlawanan dan mesti meninggalkan negara itu pada hari yang sama perlawanan berlangsung. AS merupakan penganjur bersama kejohanan itu bersama Kanada dan Mexico.

Dalam satu kenyataan, Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI) menyatakan bahawa sekatan berkenaan tidak selaras dengan prinsip layanan saksama untuk semua pasukan.

“Persekutuan bola sepak Iran percaya bahawa sekatan sedemikian tidak selaras dengan prinsip menyediakan syarat yang saksama kepada semua pasukan yang bertanding dan boleh menjejaskan proses persiapan pasukan,” menurut kenyataan itu.

Persekutuan itu menambah bahawa ia akan menyatakan rasa tidak puas hati secara rasmi dan mengemukakan aduan kepada FIFA.

Pertikaian terbaharu itu menyusul selepas berminggu-minggu berhadapan kesukaran logistik dan berkaitan visa membabitkan penyertaan Iran dalam kejohanan berkenaan. Pasukan itu terpaksa memindahkan pangkalan Piala Dunia mereka dari Arizona ke Tijuana, Mexico, selepas isu visa menjejaskan beberapa pegawai persekutuan dan kakitangan sokongan.

Pegawai Iran juga mengadu tentang sekatan yang menjejaskan ahli delegasi, akses media, dan penyokong yang menghadiri perlawanan di AS.

Isu itu semakin memuncak selepas perlawanan pembukaan Kumpulan G, Iran menentang New Zealand di Los Angeles, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Selepas perlawanan itu, ketua jurulatih Amir Ghalenoei menyifatkan Iran sebagai pasukan ‘paling tertindas’ dalam kejohanan itu, manakala kapten Mehdi Taremi berkata cabaran logistik yang dihadapi skuad berkenaan telah menjadikan beberapa minggu kebelakangan itu sebagai ‘bencana’.

Kekecewaan itu sebahagiannya berpunca daripada arahan yang memerlukan Iran meninggalkan AS serta-merta selepas perlawanan menentang New Zealand dan kembali ke pangkalan pasukan mereka di Tijuana, berbanding dibenarkan bermalam untuk pemulihan dan latihan sebelum pulang pada keesokan harinya.

Di sebalik pertikaian itu, persekutuan berkenaan menyatakan bahawa pasukan kebangsaan akan meneruskan persiapan mereka dan kekal fokus pada perlawanan Ahad menentang Belgium.

Presiden FIFA Gianni Infantino melawat bilik persalinan Iran selepas perlawanan menentang New Zealand dan memuji para pemain kerana cekal menghadapi kesukaran yang menyelubungi pasukan itu.

“Saya tahu apa yang anda lalui. Saya faham, tetapi anda lebih kuat daripada segala-galanya. Anda menghantar mesej yang kuat kepada seluruh dunia,” kata Infantino kepada para pemain. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Kekalahan kepada Kanada tidak padam harapan Qatar, kata Lopetegui

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.