SIMANGGANG: Penutupan sekolah akibat jerebu di Sarawak kini diperluaskan kepada sembilan daerah selepas tiga lagi sekolah di Daerah Simunjan, Sri Aman dan Lubok Antu diarahkan tutup berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan sekolah di sembilan daerah, iaitu Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Serian, Samarahan, Simunjan, Sri Aman dan Lubok Antu, diarahkan tutup hari ini dan esok (20 dan 21 Ogos).
Keputusan berkenaan dibuat susulan keadaan kualiti udara yang semakin tidak sihat di beberapa kawasan Sarawak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 3.30 petang ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan penutupan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah daripada risiko pendedahan kepada jerebu.
Menurut JPN Sarawak, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas.
JPN Sarawak turut memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berhubung tempoh penutupan atau pembukaan semula sekolah akan disampaikan melalui saluran rasmi JPN Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Penutupan berkenaan merupakan langkah pencegahan susulan bacaan IPU di beberapa kawasan Sarawak yang berada pada tahap tidak sihat, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan murid dan warga sekolah.
Oleh Adi Safarman




