IPU Serian hampiri 200, 13 kawasan catat tahap tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 12.00 tengah hari. Sumber NREB

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian menghampiri paras 200 apabila merekodkan bacaan 189 setakat 12.00 tengah hari ini, sekali gus menjadi bacaan tertinggi di Sarawak.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), sebanyak 13 kawasan di negeri ini merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu antara 101 hingga 200.

Selain Serian, kawasan lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Samarahan dan Tebedu, masing-masing 169, Kuching (165), Bintulu (159), Samalaju (155), Sri Aman (154), Sibu (154), Mukah (154), Sarikei (153), Miri (144), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (118) dan Lundu (107).

KEADAAN sekitar Kota Padawan yang diselubungi jerebu susulan bacaan IPU pada tahap tidak sihat di beberapa kawasan di Sarawak. Foto Adele Rissa

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.

Sementara itu, lima kawasan lain masih merekodkan bacaan pada tahap sederhana, iaitu Lawas (88), Lubok Antu (86), Kapit (77), Limbang (74) dan Bario (61).

Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi, dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan dan mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan.

Pemantauan kualiti udara akan terus dilakukan bagi menilai perkembangan keadaan jerebu di seluruh Sarawak.

Oleh Adele Rissa