IPU Sarikei cecah 210, jerebu semakin tebal

Facebook
WhatsApp
KEADAAN sekitar Sarikei ketika tinjauan kira-kira 4.30 petang hari ini apabila jerebu tebal menyebabkan pemandangan semakin kabur.

SARIKEI: Keadaan jerebu di Sarikei semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 210 pada 5.00 petang ini dan sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.

Tinjauan Utusan Sarawak sekitar bandar ini kira-kira 4.30 petang mendapati jerebu semakin tebal sehingga menyebabkan pemandangan di beberapa kawasan kelihatan kabur.

Keadaan tersebut jelas kelihatan terutama di kawasan berhampiran sungai apabila pemandangan di seberang sungai semakin sukar dilihat, manakala langit diselubungi warna kelabu akibat jerebu.

JEREBU semakin tebal sehingga menyebabkan pemandangan di beberapa kawasan kelihatan kabur.

Tinjauan di beberapa laluan sekitar Sarikei turut mendapati jarak penglihatan terjejas dengan objek dan landskap pada jarak jauh kelihatan semakin samar.

Semakan menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan IPU Sarikei merekodkan bacaan 210 pada 5.00 petang.

Bacaan antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

BACAAN IPU Sarikei mencecah 210 pada 5.00 petang, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Situasi petang ini memperlihatkan jerebu terus menyelubungi Sarikei dengan keadaan atmosfera yang suram meskipun ketika waktu siang.

Orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang sensitif terhadap pencemaran udara disaran mengurangkan aktiviti di luar dan mengikuti perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Oleh Earl Anek