IPU melebihi 300, pekerja luar masih abaikan pelitup muka

Facebook
WhatsApp
BEBERAPA orang memakai pelitup muka. Foto janaan AI

KUCHING: Sebahagian pekerja yang menjalankan tugas di luar bangunan didapati masih tidak memakai pelitup muka ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 mata sejak beberapa hari lalu.

Perkara itu dikesan anggota Pasukan Bomba Sukarela Stampin ketika menjalankan rondaan komuniti dan tugas operasi di sekitar kawasan berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pasukan Bomba Sukarela Stampin yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Kiing Sie Ying berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengagihkan pelitup muka kepada pekerja terbabit bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan bahan pencemar udara.

“Anggota kami mendapati sebahagian pekerja luar tidak memakai pelitup muka ketika menjalankan tugas sejak beberapa hari lalu.

“Jadi, kami mengambil inisiatif mengagihkan pelitup muka kepada mereka sebagai langkah mengurangkan risiko terdedah kepada udara tercemar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan pencemaran udara di luar bangunan semakin ketara sejak kebelakangan ini, malah bau seakan-akan sesuatu terbakar dapat dihidu dengan jelas di sesetengah kawasan.

Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan individu yang sensitif terhadap habuk atau bau mengalami gejala seperti bersin, ketidakselesaan pada mata dan sakit tekak.

Katanya, individu yang mempunyai masalah pernafasan juga boleh mengalami kesukaran bernafas sekiranya terdedah terlalu lama kepada udara tercemar.

Dalam pada itu, Kiing Sie Ying berkata keadaan cuaca kering ketika ini turut meningkatkan risiko kebakaran, terutama apabila terdapat bahan mudah terbakar dan aktiviti pembakaran terbuka.

“Dalam keadaan cuaca sangat kering, api kecil sekalipun boleh merebak dengan cepat sekiranya ditiup angin.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kebakaran merebak ke rumah, kenderaan atau bangunan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba sukarela ketika ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada tindakan pemadaman, tetapi turut meningkatkan rondaan komuniti dan usaha pencegahan kebakaran susulan keadaan cuaca semasa.

Katanya, orang ramai perlu mengelakkan pembakaran terbuka, selain memastikan daun kering, kotak, kayu, plastik dan bahan mudah terbakar tidak dibiarkan berhampiran rumah atau sumber api.

Pada masa sama, pemeriksaan terhadap pendawaian, soket, peralatan elektrik dan peralatan gas di rumah perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko kebakaran akibat litar pintas atau pemanasan melampau.

Kiing Sie Ying berkata, pihaknya akan terus menjalankan rondaan dan program kesedaran bersama komuniti selagi keadaan pencemaran udara dan cuaca kering masih berlarutan.

“Sekiranya ternampak asap atau pembakaran terbuka yang mencurigakan, segera maklumkan kepada pihak berkuasa.

“Jangan cuba menghampiri atau memadam kebakaran sendiri sekiranya tidak mempunyai peralatan dan latihan yang sesuai,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat