IPU Kuching cecah 272, jerebu terus membelenggu Sarawak

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 9.00 malam ini. Sumber NREB

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching mencatatkan 272 setakat 9.00 malam ini, manakala bacaan di IPD Serian menurun kepada 217, dengan kedua-dua kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat.

Bacaan di Serian itu menurun berbanding 268 yang direkodkan pada 4.00 petang tadi.

Selain Kuching dan Serian, tujuh kawasan lain turut merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu Lubok Antu (237), Sri Aman (227), Lundu (224), Kanowit (218), Samalaju (207), Samarahan (206) dan Bintulu (204).

Sementara itu, sembilan kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Mukah dan ILP Miri masing-masing mencatatkan 189, diikuti Betong (185), Sarikei (183), Miri (181), Sibu (179), Limbang (163) dan Kapit (151).

Bario pula merekodkan bacaan 75 pada tahap sederhana, manakala Tebedu tidak mempunyai data terkini.

Keadaan itu menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak masih berada pada tahap membimbangkan, khususnya di kawasan yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat.

Orang ramai, terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengurangkan aktiviti di luar rumah sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.