KUCHING: Kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak berada pada tahap sangat tidak sihat pagi ini, dengan Serian, Lundu dan Kanowit merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 setakat 9.00 pagi.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lundu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 224, diikuti Serian (217) dan Kanowit (216).
Ketiga-tiga kawasan berkenaan berada pada tahap sangat tidak sihat berdasarkan skala IPU.
Sementara itu, Kuching merekodkan bacaan 195, Tebedu (195), Lubok Antu (192) dan Samarahan (189), yang kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.
Turut merekodkan status tidak sihat ialah Sri Aman (168), Sarikei (158), Sibu (158), Mukah (148), Bintulu (170), Samalaju (162), Miri (126) dan Belaga (171).
Bagi kawasan lain, Kapit merekodkan bacaan 100, ILP Miri (92), Limbang (88), Lawas (84) dan Bario (66), yang kesemuanya berada pada tahap sederhana.
Berdasarkan skala IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan pada tahap tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan individu berisiko tinggi, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.
Bacaan antara 201 hingga 300 pula berada pada tahap sangat tidak sihat, yang boleh memburukkan keadaan kesihatan serta memberi kesan kepada kesihatan awam.
Data berkenaan berdasarkan bacaan stesen pemantauan kualiti udara di seluruh Sarawak setakat 9.00 pagi ini.
Oleh Afiq Sallehi





