KUALA LUMPUR: Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk pekebun kecil diaktifkan bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak bermula 1 hingga 30 April 2023 berdasarkan pengeluaran pada Mac 2023.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam kenyataan hari ini, harga purata peringkat ladang bagi cup lump atau getah sekerap pada Mac 2023 berada pada RM2.35 sekilogram bagi Semenanjung dan RM2.00 sekilogram masing-masing bagi Sabah dan Sarawak.
Katanya, IPG cup lump dan lateks teraktif bagi bulan tersebut di Semenanjung adalah pada kadar 15 sen sekilogram bagi 50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK) dan 30 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.
Di Sabah, ia berada pada kadar 50 sen sekilogram (50 peratus KGK) dan RM1.00 sekilogram (100 peratus KGK) manakala di Sarawak berada pada kadar 50 sen sekilogram (50 peratus KGK) dan RM1.00 sekilogram (100 peratus KGK).
Menurut LGM, IPG lateks teraktif pula adalah pada kadar 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.
Mulai Januari 2019, IPG akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang bagi cup lump berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.
Sementara itu, IPG lateks akan teraktif apabila IPG cup lump teraktif.
Kadar IPG lateks adalah tetap pada kadar 90 sen sekilogram lateks 100 peratus KGK. – Bernama