

SIMANGGANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman terus memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan lumba haram yang membahayakan keselamatan awam di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, dalam Operasi Khas Motosikal yang dijalankan sejak semalam, sebanyak 99 individu dan 97 kenderaan telah diperiksa di sekitar Jalan Paip, Batu Lintang, Kem Pakit serta Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman–Sarikei.
“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 72 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 19 motosikal pelbagai jenis turut disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, IPD Sri Aman tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti lumba haram kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam nyawa penunggang serta pengguna jalan raya lain.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” tegas beliau.
Orang ramai turut digesa agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan lumba haram kepada pihak polis melalui balai berhampiran atau menghubungi IPD Sri Aman di talian 083-322121.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam membanteras kegiatan tidak bermoral ini yang boleh meragut nyawa,” tambah beliau.
Oleh Adi Safarman