
SIMANGGANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman hari ini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian orang hilang melibatkan seorang lelaki warga emas di Sungai Lubok Empanggu dekat Bayai.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, laporan tersebut diterima sekitar 10.00 pagi selepas sebuah perahu yang dinaiki dua mangsa karam ketika membawa muatan buah kelapa sawit.
“Mangsa dikenali sebagai Banggau Ngilah, 71 tahun, berasal dari Rumah Panjang Kemintin Tengah Klauh, Sri Aman.
“Beliau dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama menantunya terbalik dipercayai akibat melanggar dahan kayu di tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Menurut beliau, mangsa ketika kejadian dilaporkan memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan biru, seluar panjang hitam serta kasut bot tinggi berwarna hitam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan dengan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sri Aman serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman.
Dalam insiden tersebut, seorang mangsa iaitu Roys Misen berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, manakala seorang lagi iaitu Banggau Ngilah hilang dibawa arus.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Leonard Mallaca di talian 019-7509390 atau Bilik Gerakan IPD Sri Aman di 083-322035.
Oleh Adi Safarman