
SIMANGGANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha di Surau Darul Solihin IPD Sri Aman, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata program pengagihan daging korban anjuran IPD Sri Aman itu telah berlangsung dengan jayanya atas kerjasama Ahli Jawatankuasa Pengurusan Ibadah Korban IPD Sri Aman.
“Antara yang menerima daging korban pada majlis tersebut iaitu tiga pesara polis, 16 golongan asnaf dan mualaf (saudara baru),” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Kaunselor Suhaidi@Roslan Los yang mewakili ADUN Lingga telah menghadiri majlis pengagihan daging korban sempena Program Ibadah Korban peringkat IPD Sri Aman, semalam.
Dayang Noorazah berharap pelaksanaan ibadah korban yang dianjurkan ini membawa keberkatan, memperkukuh hubungan masyarakat serta menyemai semangat kesatuan dalam komuniti.
“Semoga amalan korban yang dijalankan oleh kita diterima oleh Allah SWT, serta membuka minda kita tentang erti sebenar ‘Qurban’ yang di aplikasikan dalam kehidupan kita seharian.
“Bukan semata berkorban harta dan nyawa, tetapi berkorban menyingkirkan hawa nafsu kita agar kita dapat menjalani hidup yang tenang serta menjadi manusia yang berguna,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman