MESRA … Sarjan Mechael Nangkai Ngaoh sedang melayan penduduk pada Program “Talk To Us” dekat Pasar
Batu Lintang, Sri Aman.
SIMANGGANG: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman baru-baru ini telah mengadakan dua Program ‘Talk To Us’ secara serentak di dua lokasi bawah kuasa pentadbiran mereka.
Dua lokasi berkenaan yang dipilih bagi tujuan pelaksanaan program berkenaan secara serentak adalah di premis perniagaan Happy Garden dekat Pekan Pantu (Daerah Pantu) dan di Pasar Batu Lintang, Sri Aman.
Pelaksanaan Program “Talk To Us” di Pekan Pantu telah dikendalikan oleh Ketua Polis Balai (KPB) Pantu, Sarjan Mejar (SM) Lawrence Sawan dan dibantu oleh dua pegawai rendah polis serta seorang pegawai awam.
Manakala Program “Talk To Us” di Pasar Batu Lintang, Sri Aman pula dikendali oleh Ketua Polis Balai (KPB) Batu Lintang, Sarjan Mechael Nangkai Ngaoh dan dibantu oleh dua pegawai rendah polis dari balai itu.
Jurucakapnya memberitahu program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang awam untuk menyampaikan aduan atau laporan mengenai maklum balas mengenai mutu perkhidmatan Balai Polis Batu Lintang dan Balai Polis Pantu.
Selain melaporkan maklumat keselamatan, jenayah dan dadah, program ini katanya juga akan dapat memupuk semangat persefahaman di antara Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan komuniti setempat sebagai Sahabat Pencegahan Jenayah.
“Malah ia juga turut memberi peluang kepada komuniti setempat di bawah kuasa pentadbiran Balai Polis Batu Lintang dan Balai Polis Pantu untuk bertemu dengan para anggota yang berkhidmat di situ.
“Mendidik komuniti setempat di bawah kuasa tadbir IPD Sri Aman berkenaan usaha pencegahan jenayah adalah merupakan objektif pelaksanaan ‘Talk to Us’ di bawah inisiatif ‘Modern Policing’ PDRM.
“Justeru diharap agar komuniti setempat di Pantu dan Batu Lintang, Sri Aman lebih bersikap terbuka dalam menyalur pelbagai maklumat berkaitan jenayah di kawasan mereka dalam kadar segera selepas pelaksanaan program ini,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG