
SARATOK: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok telah memperkasakan usaha membanteras jenayah menerusi pelaksanaan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan secara besar-besaran di sekitar kawasan pentadbirannya, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang bermula pada 3.00 petang hingga 10.30 malam itu bertujuan menurunkan kadar jenayah indeks, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘titik panas’.
Menurut beliau, fokus utama operasi adalah untuk meningkatkan kehadiran polis atau omnipresence bagi mencegah kes-kes kecurian kenderaan seperti motosikal dan kereta, selain membanteras aktiviti jenayah lain di kawasan awam.
Operasi tersebut diketuai oleh Inspektor Wealy James bersama kekuatan keseluruhan seramai 15 orang, yang terdiri daripada seorang pegawai kanan dan 14 anggota dari pelbagai cawangan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

DSP Mathew menjelaskan bahawa pasukan operasi telah menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) di laluan strategik Lebuh Raya Pan Borneo serta melakukan rondaan agresif di sekitar pasar, kampung, dan taman perumahan di kawasan Kabong, Saratok, serta Roban.
”Menerusi pendekatan ‘snap check’ dan SJR ini, pihak polis dapat melakukan pemeriksaan teliti terhadap individu serta kenderaan yang mencurigakan bagi mengesan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil daripada operasi tersebut, seramai 95 individu telah diperiksa yang merangkumi 60 lelaki dan 35 perempuan bagi memastikan tiada penglibatan dalam aktiviti jenayah atau penyalahgunaan dadah.
Selain pemeriksaan individu, sebanyak 87 kenderaan pelbagai jenis turut diperiksa termasuk 32 buah kereta, 33 van serta pacuan empat roda, 15 motosikal, dan tujuh lori serta bas.
Menyentuh mengenai penguatkuasaan trafik, DSP Mathew mengesahkan sebanyak 27 keping saman Pol. 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas bagi mendidik pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal agar lebih patuh peraturan.
Tambah beliau, operasi seumpama ini juga menjadi platform penting bagi mengesan individu yang berada dalam senarai dikehendaki membabitkan kes jenayah, narkotik, serta jenayah komersial di daerah berkenaan.
Oleh Adi Safarman