
SARATOK: Pendekatan penguatkuasaan menyeluruh perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam kalangan pegawai dan anggota polis di daerah ini bagi memastikan tindakan penguatkuasaan sentiasa diperkasakan.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie menegaskan pendekatan itu selaras dengan moto pucuk pimpinan Kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Tangkapan’.
Menurut beliau, fokus utama bulan ini adalah mempertingkatkan usaha pencegahan serta menurunkan kadar jenayah di Daerah Saratok melalui tindakan lebih proaktif dan berkesan.
“Kita perlu bergerak secara lebih proaktif, bukan sekadar bertindak selepas kejadian berlaku.
“Kehadiran polis di lapangan, rondaan yang konsisten serta tindakan awal terhadap elemen mencurigakan perlu diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah peringkat IPD Saratok bagi April 2026 di Padang Kawad IPD Saratok, hari ini.

DSP Mathew turut menyeru seluruh warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok memainkan peranan aktif dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara dan diutamakan.
Dalam pada itu, katanya semua anggota perlu mendekati Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta tuai rumah di kawasan masing-masing bagi memperkukuh kerjasama komuniti.
Jelasnya, hubungan rapat dengan masyarakat penting bagi membantu polis memperoleh maklumat awal berkaitan aktiviti jenayah serta penyalahgunaan dadah.
“Gunakan platform sedia ada seperti program komuniti, dialog keselamatan dan lawatan mesra untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap PDRM. Kejayaan mencegah jenayah banyak bergantung kepada kerjasama orang ramai,” katanya.
Mengulas aspek keselamatan jalan raya, beliau berkata penguatkuasaan lalu lintas tidak boleh dipandang ringan kerana kemalangan boleh dielakkan sekiranya undang-undang dipatuhi.
Sehubungan itu, operasi dan sekatan jalan raya perlu dilaksanakan secara berterusan serta tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan jalan raya.
Dalam pada itu, DSP Mathew menegaskan isu penyalahgunaan dadah masih menjadi ancaman serius dan pendekatan penguatkuasaan menyeluruh mesti dilaksanakan tanpa kompromi, termasuk mengambil tindakan segera terhadap setiap maklumat diterima serta menjalankan operasi berterusan.
Majlis berkenaan dihadiri seramai 105 pegawai dan anggota serta diisi dengan pelbagai acara termasuk nyanyian lagu rasmi, bacaan doa, lafaz ikrar dan penyampaian sijil penghargaan.
Perhimpunan bulanan itu berlangsung lancar dan membuktikan komitmen berterusan IPD Saratok dalam memperkukuh kesiapsiagaan pasukan serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Oleh Adi Safarman