
BINTANGOR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong terus mempertingkat kehadiran polis di institusi pendidikan apabila anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) menjalankan lawatan pemantauan keselamatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Kwong, hari ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata lawatan tersebut diketuai oleh Sarjan Rubat Sangai bersama Konstabel Syawaludin Salus bagi menilai tahap keselamatan dan memantau keadaan persekitaran sekolah tersebut.
“Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman sekolah berada pada tahap optimum.
“Di samping itu, ia juga adalah untuk meningkatkan kehadiran serta keterlihatan polis (omni-presence) di kawasan institusi pendidikan,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.
Katanya, lawatan ini turut bertujuan memastikan kawasan sekolah bebas daripada sebarang ancaman jenayah, buli atau aktiviti tidak bermoral.
“Ia juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak polis dan komuniti sekolah selain memberi khidmat nasihat serta meningkatkan kesedaran murid mengenai pencegahan jenayah dan keselamatan diri.
“Pemeriksaan keselamatan turut dilakukan bagi mengenal pasti kawasan berisiko untuk penambahbaikan pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, lawatan berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah,” katanya lagi.
Tambahnya, usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa aman, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran pelajar.
Oleh Earl Anek