
BINTANGOR: Usaha memastikan persekitaran sekolah aman dan bebas jenayah diteruskan dengan kehadiran anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Binatang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata lawatan tersebut dijalankan sekitar 9.00 malam bagi memantau tahap keselamatan dan ketenteraman di kawasan sekolah luar bandar.
“Lawatan ini bertujuan memastikan keselamatan sekolah berada pada tahap optimum, di samping meningkatkan kehadiran serta keterlihatan polis (omni-presence) di kawasan institusi pendidikan.
“Ia juga bertujuan memastikan kawasan sekolah bebas daripada sebarang ancaman jenayah, buli dan aktiviti tidak bermoral.
“Selaij itu, ia juga menjadi platform mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak polis dan komuniti sekolah, selain memberi khidmat nasihat serta meningkatkan kesedaran murid mengenai pencegahan jenayah dan keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemeriksaan turut dijalankan untuk mengenal pasti kawasan berisiko yang perlu penambahbaikan pada masa akan datang.
“Secara keseluruhannya, lawatan berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah.
“Usaha seperti ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa aman, selamat dan kondusif untuk proses pembelajaran,” ujarnya.
Oleh Earl Anek