
LUBOK ANTU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu akan terus mempergiat Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Operasi Tapis Khas dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah ini sentiasa terpelihara.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin, berkata langkah itu merupakan antara komitmen berterusan IPD Lubok Antu dalam mengekang jenayah serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Operasi ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan masyarakat sentiasa berasa selamat dan yakin dengan kehadiran polis di lapangan,” tegasnya semasa Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Lubok Antu bagi bulan Oktober 2025 yang diadakan di Dataran Kawad IPD Lubok Antu semalam.

Seramai 72 warga IPD Lubok Antu, termasuk Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Polis Balai, pegawai kanan dan rendah polis, pegawai awam serta waris pesara dan bekas polis hadir pada majlis berkenaan.
Pricha turut menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai, anggota serta waris pesara dan bekas polis atas komitmen dan kehadiran mereka dalam perhimpunan bulanan kali ini.
Beliau mengingatkan semua bahagian dan balai supaya memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dicapai sebelum penghujung tahun ini, memandangkan dua bulan terakhir bakal memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) serta bantuan sumber manusia sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurutnya, sepanjang Oktober, IPD Lubok Antu telah berjaya melaksanakan pelbagai tugasan termasuk kawalan keselamatan dan lalu lintas, pameran sempena sambutan Ulang Tahun ke-40 Loji Hidroelektrik Batang Ai yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta beberapa pemeriksaan dan mesyuarat penting di peringkat daerah.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan supaya semua warga IPD Lubok Antu mematuhi sepenuhnya prosedur kewangan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara (KPN) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun PDRM Bukit Aman baru-baru ini.
“Setiap anggota perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti, disiplin dan profesionalisme, serta menjaga nama baik pasukan dan keluarga,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada empat anggota serta Sijil Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada lima waris pesara dan bekas polis yang berkhidmat semasa era darurat.
Mengakhiri ucapannya, Pricha menggesa semua warga IPD agar terus menunaikan amanah dengan dedikasi dan menjunjung nilai murni.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Peganglah kepada prinsip ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’,” katanya.
Oleh Adi Safarman