

LUBOK ANTU: Keprihatinan terhadap kebajikan pesara polis terus menjadi agenda utama apabila Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin bersama 22 warga kerja serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Lubok Antu mengadakan program ziarah kebajikan ke atas seorang pesara polis di Kampung Bukong, Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, pesara polis yang disantuni ialah Lans Koperal (B) Layang Itot, 81 tahun, yang kini lumpuh akibat penyakit strok dan memerlukan perhatian serta bantuan berterusan daripada keluarga dan pihak berkaitan.
Dalam kunjungan tersebut, DSP Pricha Azin telah menyampaikan sebuah kerusi roda sumbangan Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan Bukit Aman bagi membantu memudahkan pergerakan bekas anggota polis berkenaan.
Selain itu, turut disampaikan hamper berupa barangan keperluan asas sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap jasa serta pengorbanan pesara polis sepanjang berkhidmat menjaga keselamatan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan bertujuan menyantuni pesara polis yang pernah berkhidmat mempertahankan kedaulatan negara di samping menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pasukan keselamatan.
Program tersebut juga menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga pasukan polis dengan pesara-pesara polis agar hubungan kekeluargaan dalam organisasi PDRM terus kukuh.
Pada masa sama, lawatan kebajikan seperti itu membolehkan pihak polis mengenal pasti keperluan semasa pesara dan bekas anggota polis yang memerlukan bantuan serta sokongan daripada pihak berkaitan.
IPD Lubok Antu menegaskan pihaknya akan terus komited menjaga kebajikan pesara serta bekas anggota polis di daerah itu termasuk di kawasan daerah kecil Engkilili sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka kepada negara dan masyarakat.
Oleh Adi Safarman