
BINTULU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu akan terus memperkukuh kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi cabaran keselamatan serta situasi kecemasan di daerah ini, di samping memanfaatkan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepolisan.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, 2025 telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang menguji ketahanan dan komitmen pasukan, termasuk kejadian banjir besar pada awal tahun yang menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi daripada seluruh warga IPD Bintulu.

Menurut beliau, pengalaman berdepan situasi berkenaan menjadi asas penting dalam mempertingkat tahap persediaan pasukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
“Tahun 2025 telah menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang menguji kesiapsiagaan dan ketahanan kita dalam menjaga ketenteraman awam serta keselamatan masyarakat.
“Banjir besar yang berlaku pada awal tahun menuntut komitmen dan kesabaran yang tinggi daripada seluruh warga pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Daerah Bintulu bagi bulan Januari yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, di sini, hari ini.
Katanya lagi, selain pengurusan bencana, IPD Bintulu turut memberi tumpuan kepada pengoptimuman penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penguatkuasaan undang-undang selaras dengan evolusi teknologi semasa.

“PDRM perlu mengoptimumkan penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan dalam operasi penguatkuasaan undang-undang agar seiring dengan keperluan keselamatan masa kini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Nixon turut menekankan kepentingan profesionalisme, integriti serta amalan sifar toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran disiplin, di samping menitikberatkan kebajikan fizikal, mental dan emosi anggota bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif.
Selain itu, beliau juga menggesa warga IPD Bintulu agar sentiasa mematuhi etika penggunaan media sosial selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Menurutnya, setiap perkongsian di media sosial mencerminkan imej pasukan, justeru penggunaan platform berkenaan hendaklah dibuat secara berhemah, profesional dan bertanggungjawab.
“Elakkan pemakaian uniform bagi tujuan hiburan, memuat naik kandungan tidak profesional, mengkritik pasukan atau kerajaan serta membuat sebarang spekulasi kes yang tidak tepat,” ujar Nixon.
Oleh Carolyne Utih