
BETONG: Pasukan Futsal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong bersedia menghadapi Kejohanan Futsal Piala Pesuruhjaya Polis (PJP) Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung di Miri dari 12 hingga 14 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong berkata penyertaan tersebut bukan sahaja sebagai medan persaingan sukan, malah sebagai wadah memperkukuh semangat berpasukan dan jatidiri warga IPD Betong.
“Para pemain diingatkan agar sentiasa menjaga disiplin dan nama baik IPD Betong sepanjang kejohanan berlangsung. Menang atau kalah adalah adat dalam permainan, yang penting semangat kesukanan mesti sentiasa diterapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas kepada pasukan futsal IPD Betong dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bilik Mesyuarat IPD Betong hari ini.
Menurutnya, setiap pemain perlu bermain sebagai satu pasukan dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, sejajar dengan nilai-nilai yang dibawa oleh pasukan polis.
Dalam majlis tersebut, Rejali turut memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada barisan pemain agar dapat melangkah jauh dalam kejohanan, sekurang-kurangnya sehingga ke perlawanan akhir.
“Bawa pulang kejayaan ke Betong. Saya yakin dengan kesungguhan dan kerjasama yang ditunjukkan, pasukan ini mampu mencipta kejayaan,” tambah beliau.
Oleh Adi Safarman