
BETONG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong terus menyerlah sebagai institusi yang bukan sekadar tempat bertugas, tetapi sebuah keluarga besar yang kukuh di bawah panji Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semangat itu dizahirkan melalui Majlis Jasamu Dikenang yang berlangsung penuh penghargaan dan kekeluargaan di Dewan Serbaguna IPD Betong, semalam.
Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan pegawai dan anggota yang bersara serta berpindah, disertai Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong, bersama 105 warga IPD termasuk pegawai kanan, pegawai rendah dan staf awam. Turut hadir pegawai yang diraikan bagi sesi perkhidmatan 2024 dan 2025.
Dalam ucapannya, Rejali menzahirkan penghargaan mendalam terhadap jasa dan pengorbanan setiap anggota yang telah menabur bakti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di IPD Betong.
“Majlis ini diadakan bagi menzahirkan pengiktirafan yang setinggi-tingginya kepada mereka yang berkhidmat dengan penuh kesetiaan dan dedikasi.
“Setiap peluh yang dicurahkan dan setiap tugasan yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada sejarah kejayaan IPD Betong,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan pasukan polis bukan hanya terletak pada uniform atau pangkat, tetapi pada ikatan kekeluargaan dan semangat kebersamaan yang terbina di sebalik dinding IPD Betong.
“IPD Betong bukan sekadar tempat bekerja, tetapi sebuah keluarga besar yang bersatu di bawah panji PDRM.
Walaupun ada dalam kalangan kita yang akan meninggalkan daerah ini, semangat kekeluargaan dan ukhuwah yang terjalin hendaklah terus dipelihara.
“Berpisah kita bukan bermakna berakhir, tetapi bermulanya kenangan yang kekal abadi,” ujar beliau lagi.
Rejali turut mendoakan agar pegawai yang bersara dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan dalam fasa kehidupan baharu, manakala mereka yang berpindah membawa semangat dan pengalaman Betong ke destinasi seterusnya.
Majlis turut diserikan dengan ucapan balas oleh Inspektor Ahmad Hazlan Sapiee, mewakili pegawai yang diraikan, diikuti jamuan makan malam, persembahan nyanyian dan cabutan tiket bertuah.
Kemuncak acara ialah penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada pasukan, satu simbolik bahawa setiap jasa warga IPD Betong kekal terpahat dalam hati rakan setugas.
Oleh Adi Safarman