IPD Betong perkasa benteng cegah jenayah komersil menerusi pendekatan turun padang

Facebook
WhatsApp
BSJKD Betong turun padang mendekati masyarakat menerusi Program “Meet & Greet” Bersama Komuniti di Deretan Kedai Pasar Bebangai, semalam. Foto IPD Betong

BETONG: Usaha membanteras jenayah komersil terus diperkasa apabila Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Betong turun padang mendekati masyarakat menerusi Program “Meet & Greet” Bersama Komuniti di Deretan Kedai Pasar Bebangai, semalam.

Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong, program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu disertai 30 peserta daripada komuniti setempat dan dikendalikan tiga anggota BSJKD Betong.

Anggota terbabit ialah Sarjan Mas Rahim Joki, Sarjan Aurther Situk dan Sarjan Norfariza Mohamed Usup.

Dalam suasana santai dan mesra, komuniti diberikan penerangan mengenai trend terkini jenayah komersil, modus operandi penipuan serta fungsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dalam melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa.

Orang ramai turut didedahkan kepada saluran bantuan dan kemudahan semakan yang boleh digunakan bagi meningkatkan tahap keselamatan, antaranya National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997, aplikasi Whoscall serta Portal Semak Mule atau CCID Check.

ANGGOTA BSJKD Betong berinteraksi bersama komuniti dalam Program “Meet & Greet” Bersama Komuniti di Deretan Kedai Pasar Bebangai, semalam. Foto IPD Betong

Selain itu, masyarakat turut digalakkan mengikuti platform media sosial rasmi JSJK bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan taktik penipuan dan langkah pencegahan yang boleh diambil.

Program berkenaan turut diserikan dengan promosi E-Buku Jenayah Komersil menerusi kod QR, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan panduan pencegahan untuk dikongsi bersama keluarga, rakan dan kenalan.

Pendekatan secara bersemuka itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat, malah menjadi medium penting untuk membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti.

Sambutan menggalakkan daripada masyarakat, khususnya terhadap penerangan berkaitan taktik penipuan dalam talian yang semakin kompleks, menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan pencegahan jenayah komersil terus mendapat perhatian.

Masyarakat turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi maklumat serta E-Buku Jenayah Komersil yang diperkenalkan dengan ahli keluarga dan kenalan sebagai usaha memperluas mesej pencegahan.

Program berakhir pada 12.00 tengah hari dalam keadaan lancar dan terkawal, sekali gus membuktikan pendekatan turun padang dan mendekati masyarakat kekal sebagai antara strategi penting PDRM dalam memperkukuh benteng pencegahan jenayah komersil di peringkat akar umbi.

PDRM menegaskan bahawa peranan pasukan keselamatan bukan sekadar menyiasat jenayah yang berlaku, sebaliknya turut memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang mencukupi untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Oleh Adi Safarman