
BETONG: Ibu Pejabat Polis Daerah Betong (IPD Betong) memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan waris kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Jubli, dianggarkan berumur lingkungan 60-an.
Menurut kenyataan media IPD Betong, lelaki berkenaan ditemui oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan Pasar MID, Betong, dalam keadaan memerlukan perhatian lanjut.
Susulan penemuan itu, mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk bagi pemantauan selanjutnya.
Ketika ini, beliau ditempatkan di Wad Kecemasan Hospital Betong bagi tujuan pemerhatian dan rawatan lanjut oleh pihak perubatan.
Pihak hospital memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti ahli keluarga atau waris terdekat lelaki berkenaan bagi memudahkan urusan selanjutnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali penama atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh hadir terus ke Hospital Betong atau menghubungi IPD Betong dengan kadar segera.
IPD Betong turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam membantu mengesan waris lelaki berkenaan demi memastikan kebajikan serta urusannya dapat diselesaikan dengan baik.
Oleh Adi Safarman