
BETONG: Polis memohon bantuan orang ramai untuk tampil memberikan maklumat berhubung satu kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 103, Lebuh Raya Pan Borneo Betong-Sarikei berhampiran Rumah Panjang Melayu Ulu, sekitar 6.15 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dari arah Kuching menuju ke Sarikei dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum memasuki longkang bersimen dan merempuh pembetung berhampiran persimpangan Rumah Panjang Melayu Ili.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu iaitu seorang lelaki tempatan berusia sekitar 57 tahun mengalami kecederaan parah.
“Manakala dua penumpangnya, seorang wanita dalam lingkungan 60-an dan seorang lagi berusia 80-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Rejali, pemandu serta penumpang kenderaan terbabit telah dibawa ke Hospital Betong untuk rawatan lanjut dan urusan tuntutan mayat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“IPD Betong menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan demi keselamatan bersama.
“Sekiranya terdapat saksi kejadian, diminta hadir ke Pejabat Trafik IPD Betong atau menghubungi Inspektor Mohd Hadi di talian 014-5854453 untuk membantu siasatan,” tegas Rejali.
Oleh Adi Safarman