DARO: Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan telah mengadakan Program Lawatan Kualiti ke beberapa lokasi pembangunan utama di Daerah Matu dan Daro, kelmarin.
Turut mengiringi lawatan bagi meninjau kemajuan pelaksanaan projek serta menilai keperluan infrastruktur di kawasan luar bandar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Lawatan ini memberi tumpuan khusus terhadap pemantauan status kemudahan awam dan projek pembangunan sedia ada, di samping mengenal pasti keperluan segera yang perlu diberi perhatian untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro, yang berada dalam keadaan uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan operasi.
Dalam taklimat bersama pihak polis, Ahmad Nadzri menekankan keperluan mendesak untuk membina semula IPD tersebut sebagai langkah penting memperkukuh aspek keselamatan dan perkhidmatan kepolisan di kawasan itu.
Seterusnya, rombongan melawat tapak Projek Bina Semula Bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tebaang yang telah siap sepenuhnya dan kini menunggu arahan rasmi untuk digunakan.
Ahmad Nadzri memuji pelaksanaan projek tersebut yang berjaya disiapkan mengikut jadual, sekali gus menunjukkan kecekapan agensi pelaksana dan kontraktor dalam memastikan projek pembangunan luar bandar mencapai matlamatnya.
Lawatan turut meliputi projek pembinaan Bangunan Baharu SK Bawang Tian di Matu yang sedang giat dilaksanakan.
Ahmad Nadzri menyatakan harapannya agar projek ini disiapkan mengikut jadual dan menepati spesifikasi ditetapkan, agar ia dapat segera dimanfaatkan oleh komuniti pendidikan setempat.
Lawatan rasmi ini diakhiri dengan majlis makan malam bersama ketua-ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan tempatan, yang membuka ruang perbincangan tidak formal bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan agensi tempatan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Secara keseluruhan, lawatan ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam menilai dan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan luar bandar serta memastikan kemudahan infrastruktur seperti keselamatan, pendidikan dan perkhidmatan asas terus ditambah baik demi kesejahteraan rakyat luar bandar di Sarawak.