Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • IOM perkukuh peranan media serantau dalam laporan isu migrasi
  • SEMASA

IOM perkukuh peranan media serantau dalam laporan isu migrasi

Utusan Sarawak 3 days ago
PETUGAS media dari dalam dan luar negara mula berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi membuat liputan Sedang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang akan bermula 26 Mei ini lalu. Laporan media akan menjadi tumpuan negara ASEAN sepanjang berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC_China yang akan menjadi platfom penting untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan antara rantau. Foto BERNAMA

BANGKOK: Dalam era di mana sesiapa sahaja boleh menerbitkan kandungan secara dalam talian dan maklumat tersebar sepantas kilat, penularan maklumat palsu atau mengelirukan juga dikenali sebagai maklumat salah, menjadi isu global yang semakin meruncing.

Bagi menangani cabaran itu, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) baru-baru ini menganjurkan kursus latihan bertajuk ‘Navigating Migration Narratives and Principles of Ethical Journalism’ bagi meningkatkan kualiti dan etika pelaporan isu migrasi.

Program latihan yang berlangsung dari 20 hingga 22 Mei di sebuah hotel ternama di Bangkok menghimpunkan 17 pengamal media dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Thailand.

Kursus itu memberi pendedahan kepada wartawan, penerbit dan pegawai komunikasi mengenai cara mengendalikan naratif migrasi yang kompleks dengan berpaksikan prinsip kewartawanan beretika seperti ketepatan, keadilan dan akauntabiliti.

Selama tiga hari, peserta meneroka rangka kerja undang-undang, punca migrasi serta pengalaman hidup sebenar para migran.

Antara fokus utama ialah memerangi maklumat salah, membetulkan tanggapan yang mengelirukan serta mengelakkan penggunaan bahasa bersifat stigma yang boleh mencetus diskriminasi.

Antara elemen menarik ialah penyertaan kisah peribadi para migran, memberikan gambaran langsung bagi memanusiakan isu migrasi, mencabar stereotaip dan menanamkan empati.

Wartawan dari Nagorik Television, Bangladesh, Shashwaty Sarker Disha berkata latihan itu mengubah pendekatannya terhadap pelaporan beretika.

“Ada masanya kita menggunakan subjek tanpa menjelaskan latar belakang dengan baik, yang boleh mengelirukan penonton dan membentuk tanggapan negatif terhadap migran.

“Latihan ini mengingatkan keperluan untuk mengetengahkan suara migran, mencabar stereotaip dan mengurus naratif dengan lebih sensitif dan bertanggungjawab.

“Saya juga kini lebih berhati-hati dalam memilih bahasa dan mempersoalkan ketidakseimbangan kuasa dalam naratif,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa kini beliau lebih peka terhadap penggunaan visual dalam laporan migrasi kerana imej dan grafik turut mempengaruhi tanggapan awam.

Seorang lagi peserta dari Indonesia yang enggan dikenali berkata, latihan itu merapatkan jurang antara teori dan amalan.

“Sebelum ini saya sudah amalkan beberapa prinsip ini, tetapi program ini memberikan pemahaman konsep dan kerangka etika yang saya belum kuasai sepenuhnya.

“Latihan ini mengukuhkan ilmu yang saya miliki dan kini saya lebih yakin mengolah laporan migrasi dengan empati dan konteks, bukan sekadar berdasarkan naluri,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa isu migrasi di Indonesia selalunya hanya mendapat perhatian apabila dikaitkan dengan konflik atau kontroversi, yang menyebabkan migran digambarkan sebagai ‘ancaman’.

“Apa yang kita perlukan ialah pemahaman menyeluruh mengenai konsep migrasi, punca asal dan perjalanan panjang serta peritnya kehidupan, supaya liputan kita tidak hanya sekadar mengupas bahagian permukaan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa latihan itu menunjukkan bagaimana kewartawanan yang lebih baik boleh memberikan suara kepada golongan yang tidak didendang dan memberi impak berpanjangan.

Program terbabit dikendalikan oleh beberapa tenaga pengajar berpengalaman termasuk Sheila Mysorekar daripada Deutsche Welle (DW) Akademie, Zobaer Ahmed (editor DW), serta Itayi Viriri, Pegawai Komunikasi dan Media Serantau Kanan IOM.

Mereka memberi bimbingan dalam komunikasi berkesan, libat urus khalayak dan pendekatan penceritaan berasaskan data.

Sesi latihan turut menekankan bahawa pelaporan migrasi bukan sekadar fakta, tetapi berperanan membentuk persepsi awam dan mempengaruhi dasar menerusi penceritaan yang beretika.

Format interaktif rentas sempadan itu turut menggalakkan peserta berkongsi pandangan mengikut konteks negara masing-masing serta menghasilkan idea liputan kolaboratif untuk memperluas representasi media di Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Satu mesej utama daripada latihan itu: wartawan bukan sekadar penyampai berita, tetapi pembentuk persepsi masyarakat.

Ketika landskap migrasi global terus berubah akibat tekanan geopolitik, ekonomi dan iklim, inisiatif seperti latihan IOM itu penting bagi memastikan liputan media kekal berfakta, adil dan berpaksikan kemanusiaan.

IOM merupakan pertubuhan antara kerajaan utama di bawah sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang komited mempromosi migrasi yang berperikemanusiaan dan teratur sejak 1951.– Bernama

Continue Reading

Previous: SHMMP Gawai 2025: KPDN Sibu kawal harga 11 barangan asas mulai esok
Next: Masalah kesihatan mental punca ramai kanak-kanak, remaja tidak datang sekolah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.