JIKA anda tertinggal telefon bimbit di rumah ketika dalam perjalanan ke pejabat atau ke kedai kopi, anda pasti tergesa-gesa mahu berpatah balik.
Hidup macam tak ‘sempurna’ sepanjang hari, walau untuk sejam dua tanpa telefon bimbit, kata seorang rakan.
Itulah hakikatnya kehidupan zaman sekarang…. internet.
Internet kini sudah menjadi keperluan asas manusia sejagat, sebaris dengan bekalan air dan elektrik. Dulu dan sekarang pun, bila berlaku ‘black-out’ bekalan elektrik dan tiada air, orang bising.
Sekarang bila talian internet lembab atau tiada, lagi orang bising. Habis syarikat telekomunikasi kena sumpah saranah.
Anda sudah tidak perlu ke bank kerana boleh membuat pembayaran secara ‘on-line’, membayar segala bil air dan elektrik… hanya dengan duduk di kedai kopi atau rumah semuanya beres.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu memasukkan rangkaian internet sebagai keperluan asas yang penting untuk rakyat.
Dengan berbuat demikian, maka ia akan dimasukkan dalam bajet tahunan kerajaan yang diukur melalui kadar liputan, bukan lagi membiarkan syarikat telekomunikasi sesuka hati mengenakan caj termasuk perkhidmatan wifi, dan dengan itu juga boleh dikawal seperti kawalan terhadap barangan pengguna.
Selama ini, kita kerap mendengar berita mengenai 70 atau 90 peratus penduduk luar bandar sudah mendapat bekalan elektrik dan air.
Namun, air dan elektrik boleh dilihat, dirasai dan dinikmati. Malah, dengan pemasangan paip air di kampung-kampung, kita sudah tahu bekalan air akan tiba.
Internet? Ye, pembinaan menara telekomunasi adalah isyaratnya tetapi kadar liputan internet kadang-kala macam iklan coklat – ‘kejap ada kejap tiada’. Tidak semua ceruk daerah/kampung ada menara telekomunikasi ‘sebab tak berbaloi bina, rugi pelaburan dengan jumlah pelanggan sedikit’ kata syarikat telekomunikasi.
Jika ada sekalipun, liputannya kadang-kala ‘tercungap-cungap’.
Selepas ini lagilah syarikat telekomunikasi berkira-kira sebelum membina menara kerana pasti akan kena cukai.
Ini berikutan pindaan Ordinan Hutan dan Kanun Tanah baru-baru ini yang membuka jalan kepada Sarawak menjana lebih banyak hasil.
Dengan itu, mana-mana syarikat telekomunikasi yang menggunakan ruang udara kita termasuk spektrum bagi kegunaan isyarat telekomunikasi perlu minta kebenaran dan bayar.
“Rangkaian 5G sudah sampai.”
“Liputan Internet 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak dijangka mencapai kadar 100 peratus menjelang tahun depan.” “Liputan 4G sudah 90 peratus di kawasan daerah B”. Itu antara tajuk berita di media.
Tetapi bila kita masuk di daerah itu, masih juga macam iklan coklat. Rakyat terus merunggut di sebalik jaminan pihak berkuasa akan menyelesaikannya.
Tentu kita masih ingat beberapa peristiwa pelajar terpaksa mendaki bukit, panjat pokok dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) di dalam bot. Ini berlaku di Sarawak.
Ia juga berlaku di Sabah, Kelantan malah di Perak.
Di Pakan dekat Sarikei sebelum ini, seorang pelajar terpaksa mendaki bukit semata-mata bagi mengikuti sesi temu ramah kemasukan ke sebuah universiti tempatan akibat masalah capaian Internet di rumah panjangnya di Suing, Teberu, Ulu Kemalih, Pakan.
Turut tular di media sosial ialah tiga pelajar di Kampung Sawai, Matu yang terpaksa mengikuti PDPR di dalam bot di Sungai Sawai, dalam keadaan hujan lebat untuk mendapatkan liputan internet.
Isu ini pernah disuarakan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Rakyat September lalu dengan mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia
(K-KOMM) untuk mengambil tindakan pantas berikutan masalah capaian internet di kawasan luar bandar di Sarawak masih lagi mendukacitakan.
Katanya, pembinaan menara telekomunikasi sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah liputan internet jika syarikat telekomunikasi enggan menyediakan perkhidmatan.
Beliau turut berharap agar isu itu ditangani bersama oleh pihak K-KOMM dan Syarikat Telco yang sepatutnya menyediakan perkhidmatan bagi memudahkan rakyat di kawasan luar bandar termasuk di Parlimen Igan.
Malah, sebelum ini pernah tular video seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan atas talian.
Video yang dimuat naik pada 12 Jun lalu di platform YouTubenya, Veveonah menerima lebih 150,000 tontonan dan dibanjiri reaksi serta komen positif selain turut dikongsi UMS.
Namun, ini semua bukan tiada inisiatif daripada kerajaan, cuma perlu sokongan syarikat telekomunikasi yang sepatutnya tidak terlalu memikirkan keuntungan.
K-KOMM pula perlu mengkaji pembekalan liputan Internet menggunakan jalur lebar tanpa wayar tetap (FWB) secara meluas di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Ini bagi menentukan keberkesanan dalam menyediakan kemudahan Internet kepada rakyat.
Sistem itu digunakan di bawah Inisiatif Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MYSRBN) yang dilancarkan kerajaan negeri pada April tahun lalu, bertujuan menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Program ini melengkapkan program induk bagi kawasan yang lompang, tertinggal atau tidak dapat mencapai capaian Internet, biasanya di pinggir sfera liputan dari menara sedia ada.
Hakikatnya, walaupun sudah mendapat liputan 4G, masih banyak kawasan di negeri ini belum lagi menikmatinya. Oleh itu, penggunaan jalur lebar tanpa wayar tetap perlu diberi tumpuan.
Secara teknikalnya, sistem ini dikatakan bagus kerana dapat memberi capaian 30 hingga 35 mbps dan ini adalah baik kepada pengguna walaupun hanya dipakai di rumah dan bukan mudah alih.
Diharapkan inisiatif kerajaan Sarawak mempercepat penyediaan kemudahan itu melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), berjaya.
Sebelum ini, pelbagai syarikat telekomunikasi jarang melakukan pelaburan kerana kurang angka pelanggan dan sebagainya. Untuk mengatasinya, kini Sarawak sendiri hadir dengan MySRBN.
Dibawah projek MySRBN ini, Sarawak menyasarkan liputan di lebih 45,000 rumah sekitar 150 kawasan pedalaman. MySRBN menawarkan akses tanpa had pada kelajuan 30Mbps.
MySRBN WiFi ditawarkan di sejumlah lokasi terbuka untuk tempoh enam bulan permulaan. Di samping itu, semua perumahan yang diliputi oleh MySRBN juga akan disubsidi kerajaan Sarawak.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Sudarnoto Osman, dilaporkan sebagai berkata bahawa fasa pertama projek MySRBN membabitkan 150 tapak antara kawasan Telok Melano di selatan Sarawak dan Lawas di utara negeri ini telah disiapkan dengan 44 tapak lagi akan dibina di bawah fasa keduanya.
Beliau berkata, rakyat yang tidak mendapat liputan Internet boleh memohon untuk melanjutkan perkhidmatan itu ke kawasan mereka melalui laman sesawang https://sarawak.digital/mysrbn.
Katanya, SDEC bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyediakan liputan Internet di Sarawak dengan melaksanakan pembinaan 600 menara komunikasi di seluruh negeri ini.
SKMM membina 636 menara komunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara dan dengan itu, kedua-dua pihak dapat menyediakan liputan sebanyak 94.3 peratus di Sarawak.
Mengenai bayaran penggunaan MySRBN, Sudarnoto berkata, ia akan diumum oleh kerajaan negeri dan sehingga tiba detik itu, rakyat Sarawak masih boleh menggunakannya secara percuma.
Malah, sudah ada program Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi mengatasi masalah capaian jalur lebar di kawasan terpencil supaya penduduk boleh mengakses perkhidmatan itu secara percuma selama dua tahun. Kemudahan alternatif ini telah mula dilaksanakan pada Oktober 2021.
Walau pelbagai inisiatif dilakukan, pastikan rakyat keseluruhannya merasai kehadiran dan capaian internet wujud.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak