MIAMI, Amerika Syarikat: Inter Miami milik Lionel Messi melantik rakan senegaranya dari Argentina, Cristian “Kily” Gonzalez, sebagai ketua jurulatih baharu juara bertahan Major League Soccer (MLS) itu.
Gonzalez, yang berasal dari Rosario, bandar kelahiran Messi, akan berusaha memperbaiki prestasi hambar Miami selepas rehat Piala Dunia di bawah kendalian pengurus sementara, Guillermo Hoyos.
“Inter Miami CF hari ini mengumumkan bahawa kelab mencapai persetujuan dengan Cristian Alberto ‘Kily’ Gonzalez untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan utama baharu kelab,” menurut kenyataan kelab.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Hoyos akan terus memegang jawatan tersebut sehingga permit kerja penggantinya di Amerika Syarikat diluluskan.
Gonzalez, 52, pernah beraksi di posisi sayap kiri bersama kelab gergasi Eropah, Inter Milan, Valencia dan Zaragoza, selain mengumpul 56 penampilan bersama skuad kebangsaan Argentina antara 1995 hingga 2005.
Beliau beralih ke bidang kejurulatihan pada 2020 dengan mengendalikan tiga kelab Argentina sebelum berpindah ke Miami.
Juara MLS Cup itu melalui tempoh sukar sejak liga Amerika Utara kembali bersambung selepas rehat pertengahan musim sempena Piala Dunia, meskipun mereka memperkuat skuad yang dibarisi ramai pemain bintang dengan mendapatkan pemain Brazil, Casemiro, dari Manchester United.
Skuad kendalian Hoyos tewas dalam empat daripada lima perlawanan terakhir, namun masih menduduki tempat kedua Persidangan Timur, 10 mata di belakang pendahulu, Nashville.
Hoyos dikenakan penggantungan satu perlawanan dan denda susulan beberapa pelanggaran oleh kelab terhadap peraturan liga berkaitan kelewatan sepak mula, selepas pasukannya berulang kali lewat kembali ke padang selepas rehat separuh masa.
Hoyos, yang sebelum ini merupakan pengarah sukan Miami dan rakan lama kapten serta tonggak utama kelab, Messi, mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara pada April selepas Javier Mascherano meninggalkan kelab atas “sebab peribadi”.
“Inter Miami ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih khusus kepada Hoyos atas komitmen serta dedikasi penuh beliau terhadap kelab, yang dizahirkan menerusi kesediaannya untuk memikul tanggungjawab tersebut sepanjang tempoh ini, bermula April lalu,” menurut kenyataan kelab. – AFP





