Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Inter Miami, Messi kecundang di tangan PSG
  • SUKAN

Inter Miami, Messi kecundang di tangan PSG

Utusan Sarawak 22 hours ago

Penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma (tengah) menenangkan kapten Inter Miami, Lionel Messi selepas aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta, Georgia. PSG menang besar 4-0.

ATLANTA, Amerika Syarikat: Paris Saint-Germain (PSG) membenam Inter Miami yang diketuai Lionel Messi 4-0 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab awal pagi tadi, ketika juara Eropah itu terlalu kuat buat pasukan bintang veteran berkenaan.

Miami berharap magis pemain Argentina itu mampu membantu mereka mencipta kejutan berdepan bekas kelabnya, tetapi kelab Major League Soccer itu tersungkur di Atlanta di tangan pasukan kendalian Luis Enrique yang begitu garang.

Messi bersama bekas rakan sepasukan di Barcelona – Luis Suarez, Sergio Busquets dan Jordi Alba – beraksi dengan baik untuk mara ke pusingan 16 terakhir, namun jurang kualiti antara kedua-dua pasukan amat ketara sepanjang 90 minit.

Joao Neves menjaringkan dua gol untuk PSG, yang turut mendapat manfaat daripada jaringan sendiri Tomas Aviles, sementara Achraf Hakimi turut meledak gol.

Selepas Neves membuka tirai jaringan, Miami bertahan buat seketika sebelum PSG meledak tiga gol dalam tempoh 10 minit menjelang akhir babak pertama.

“Kami perlu bermain dengan serius, saingan ini benar-benar bermula sekarang dan saya rasa kami bermain dengan baik,” kata pemain sayap PSG, Ousmane Dembele kepada wartawan selepas kembali daripada kecederaan.

Messi menjadi tarikan utama, apabila penyokong melaungkan namanya dan sebahagian besar daripada 66,000 penonton hadir memakai jersi warna merah jambu Miami dan jersi Argentina.

PSG mendominasi seawal permainan apabila Khvicha Kvaratskhelia mara ke dalam kotak penalti dan mengumpan kepada Bradley Barcola, namun penjaga gol Miami, Oscar Ustari menghalang dengan kakinya.

Tidak lama kemudian pemain pertahanan kanan Miami, Marcelo Weigandt yang sering ditekan, menjatuhkan Desire Doue lalu memberikan PSG peluang membuka jaringan.

Vitinha melakukan sepakan percuma ke arah tiang gol bila mana pemain tengah Portugal, Neves meluru tanpa dikawal untuk menanduk menewaskan Ustari pada minit keenam.

Dengan juara Ligue 1 itu menekan serta menguasai permainan, pasukan Miami kendalian Javier Mascherano berdepan kesukaran untuk membabitkan Messi dalam gerakan.

Usaha Messi yang hanya sekali-sekala pada usia 38 tahun tidak cukup untuk menyekat gelombang serangan PSG.

PSG menambah gol kedua pada minit ke-39 apabila pemain tengah veteran, Busquets melakukan kesilapan di depan kotak penaltinya sendiri.

Rakan senegaranya dari Sepanyol, Fabian Ruiz pantas merampas bola dan berganding dengan Barcola untuk memberi peluang kepada Neves menyudahkan gol keduanya.

PSG menambah gol ketiga apabila Aviles tertampan hantaran silang Doue ke gawang sendiri dan Hakimi menjaringkan gol keempat sebelum tamat babak pertama, sekali gus memadamkan sisa harapan Miami. – AFP

Continue Reading

Previous: Norris bangkit menangi GP Austria
Next: Terus pelihara sukan tradisional menyumpit

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.